Belanjawan 2021 : Demi kelangsungan hidup rakyat

- Advertisement -

DEWAN Muslimat PAS Malaysia ingin turut sama-sama mengetengahkan tema “Teguh Kita, Menang Bersama” yang digunakan dalam Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 atau Belanjawan 2021. Ia menegaskan kebersamaan rakyat dan kerajaan dalam menghadapi kemelut ekonomi dan sosial yang terkesan akibat penyakit pandemik Covid-19. Tiga aspek utama dalam belanjawan kali ini iaitu, kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi.

- Advertisement -

Peruntukan perbelanjaan yang sebahagian besarnya adalah untuk kepentingan rakyat seperti Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang mensasarkan lebih 8 juta penerima yang berpendapatan isi rumah dari RM2500 sehingga RM5000 sebulan. Selain daripada itu, kerajaan turut membenarkan pengeluaran akaun 1 KWSP sebanyak RM500 untuk 12 bulan dengan jumlah keseluruhan RM6000. Kerajaan sentiasa mendengar keluhan rakyat dan memahami setiap denyut nadi rakyat.

Perbelanjaan untuk pendidikan sebanyak RM64.1 bilion pula adalah antara yang tertinggi dalam pecahan belanjawan kali ini yang antara lainnya mengutamakan pembangunan infrastruktur sekolah-sekolah yang dhaif di Sabah dan Sarawak iaitu sebanyak RM783 juta dan peningkatan infrastruktur di sekolah kebangsaan sebanyak RM23 juta. Selain daripada itu, program penawaran kursus ijazah di rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) untuk pelajar lepasan kolej Vokasional dengan menggunakan perbelanjaan sebanyak RM5.9 bilion juga antara yang menarik perhatian ramai. Kedua-dua perkara ini sebenarnya sudah lama menjadi polemik perbincangan penggerak akademik negara dan akhirnya diambil peduli pada belanjawan kali ini.

Memandangkan negara masih lagi berperang dengan penyakit Covid -19, kerajaan menunjukkan kesungguhannya untuk bersama rakyat memerangi penyakit tersebut dengan membina dan menaik taraf hospital dengan perbelanjaan sebanyak RM1.6 bilion dan membina serta menaik taraf klinik kesihatan dengan perbelanjaan RM319 juta. Secara keseluruhan, peruntukan Belanjawan 2021 untuk Kementerian Kesihatan adalah sebanyak RM30.6 bilion. Ini tidak termasuk belanjawan untuk mendapatkan vaksin Covid -19 sebanyak RM3 bilion.

Demi kelangsungan dan kerancakan ekonomi, Belanjawan 2021 ini juga merupakan kesinambungan kepada pakej ransangan ekonomi yang telah dilaksanakan sebelum ini iaitu Kita Prihatin, Prihatin, Prihatin SME Plus dan Penjana. Justeru itu, Dewan Muslimat PAS Malaysia sangat mengharapkan semua pihak bersama-sama memberi sokongaan padu kepada belanjawan kali ini demi kesejahteraan rakyat seluruhnya yang perlu diutamakan.

Teguh kita, menang bersama
Islam memperkukuh perpaduan
Islam memimpin, wanita sejahtera

DR NAJIHATUSSALEHAH AHMAD
Ketua Penerangan ,
Dewan Muslimat PAS Malaysia
10hb November 2020 / 24 Rabiulawal 1442H – HARAKAHDAILY 10/11/2020

- Advertisement -