77 kes Covid-19 dikesan berpunca kluster import

ALOR SETAR: Sebanyak 77 kes positif Covid-19 dikesan di Kedah setakat ini melibatkan kluster yang ‘diimport’ dari Pulau Pinang.

Advertisement

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kewujudan kes-kes baharu itu antara tumpuan Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Covid-19 Kedah ketika ini.

“Kes yang berpunca dari kluster di Kedah seperti Sungai dan Telaga sudah berakhir. Namun kini terdapat kes-kes baharu yang diimport dari Pulau Pinang kerana ramai dalam kalangan penduduk negeri ini bekerja di sana,” ujarnya di sini.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Covid-19 di Wisma Darul Aman, hari ini.

Kes-kes itu berkait rapat dengan kluster Bayan, Intan, Permatang dan Alma yang bersempadan dengan Kedah.

Penularan itu katanya berpunca daripada seorang pekerja di mana kilang tempatnya bekerja ditutup dan dia pulang ke kampung di Kedah sebelum disahkan positif.

“Jadi kita cadangkan supaya SOP diperketatkan terutamanya bagi mereka yang setiap hari berulang alik dari Kedah ke Pulau Pinang kerana tuntutan tugas.

“Pastikan sentiasa memakai pelitup muka apabila berada dalam kenderaan seperti bas kilang dan sebagainya,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 10/11/2020