Sumbangan kereta bantu bapa pesakit kronik

- Advertisement -

TAMBUN: Seorang bapa kepada lima orang anak, Suhardy Che Omar, 46, menerima sumbangan sebuah kereta proton Saga baharu, di kediamannya di Medan Klebang Restu, Chemor, di sini semalam. 

- Advertisement -

Pengerusi Pertubuhan Prihatin Rakyat (PRIHATIN), Ustaz Hafez Sabri ketika ditemui berkata, usaha ini dijayakan dengan kerjasama Muslim Care Malaysia (MCM) bagi meringankan beban ditanggung Suhardy. 

“Encik Suhardy ini terima ujian (hidup) yang luar biasa hebat. Empat daripada lima anaknya diuji dengan pelbagai penyakit kronik yang menyebabkan beliau terpaksa berhenti kerja untuk menjaga kebajikan anak-anak. 

“Saya sentiasa mengikuti perkembangan (kesihatan) anak-anak beliau. Ada satu ketika, sewaktu membawa salah seorang anaknya memenuhi temujanji di hospital, tiba-tiba anaknya diserang sawan.

“Maka saya fikir, amat wajarlah sumbangan kereta ini diberikan kepada beliau,” ujarnya memberitahu bahawa kereta Suhardy sebelum ini telah rosak dan menyukarkan pergerakan untuk ke hospital. 

Maklum Ustaz Hafez, anak-anak Suhardy juga perlu mendapat rawatan yang kerap di hospital dan semuanya di hospital yang berbeza iaitu Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar.

“Kebiasaanya mereka akan menaiki motosikal ke (Ipoh) dan menaiki bas untuk ke KL dan Kedah,” ujar Ustaz Hafez.

Dalam pada itu, menurut Presiden Muslim Care Malaysia Society, Zulkifli Wahijan, sumbangan kereta baharu ini merupakan julung kalinya diberikan oleh pihaknya kepada asnaf.

“Alhamdulillah. Hari ini kita dapat sampaikan amanah ini kepada Suhardy. Sesungguhnya Allah yang mengizinkan semua perkara ini berlaku. Semoga sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban mereka sekeluarga,” ulasnya.

Sementara itu menurut Suhardy, beliau dan isteri amat bersyukur kerana ramai pihak yang tidak henti membantu buat keluarganya sejak empat daripada lima anak beliau diuji dengan pelbagai penyakit kronik.

Anaknya, Nur Atirah Ayu Suhardy, 22, menghidap penyakit sawan dan ketumbuhan dalam kepala (left subarachnoid cyst) di mana baru sahaja menjalani pembedahan kali ke-11 di HRPB Ipoh, baru-baru ini.

Kesan pembedahan yang kerap itu, anak sulungnya terpaksa menghadapi pelbagai masalah sampingan lain antaranya kerosakan pada saraf mata dan perlu jalani rawatan psikiatri kerana kerap berhalusinasi.

“Ketika sedar dari pembedahan baru-baru ini, anak saya (Ayu) bertanya apa yang berlaku pada mata (kiri) nya kerana (tidak boleh dibuka). Saya hanya mampu cakap doktor letak ubat supaya kakak berehat.

“Namun setelah berhari-hari baru saya jelaskan perkara yang sebenar. (Biarpun) berat untuk diterima, anak saya dan kami tetap redha dengan ujian ini (kerana) doktor (pun) sudah beritahu (ini) antara kesan sampingan yang boleh berlaku,” kongsinya hiba.

Anak yang lain, Nur Ameera Aishah Suhardy,16, menghidap asma kronik; Muhammad Irfan Suhardy, 14, menghidap kegagalan buah pinggang, Addison, katarak dan perlu jalani rawatan psikiatri manakala Muhammad Irfan Suhardy, 11, menghidap alergik kulit.

Bukan itu sahaja malah jelasnya, beliau terpaksa berhenti kerja kerana perlu menjaga sepenuhnya kebajikan anak-anak yang lain di mana mereka turut mempunyai penyakit kronik dan perlu kerap ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Menjelaskan pergerakan beliau ke hospital sebelum ini, katanya beliau akan menaiki motosikal atau kenderaan awam, namun jika keadaan terlalu memaksa beliau terpaksa memanggil ambulans untuk membawa anaknya ke hospital.

Oleh hal demikian, pihaknya amat berbesar hati dengan sumbangan yang diterima ini dan berharap ia mampu mewujudkan keselesaan buat keluarga khususnya apabila hendak mendapatkan rawatan di hospital.

“Terima kasih Ustaz Hafez Sabri selaku Pengerusi NGO Prihatin Rakyat yang selalu mengikuti rapat perkembangan anak saya. Begitu juga pihak lain seperti Muslim Care, PAS Tambun, PAS Zon Klebang, guru-guru sekolah Ayu dan lain-lain lagi.

“Saya doakan semoga semua kebaikan ini diganjari pahala oleh Allah,” ulasnya. – HARAKAHDAILY 9/11/2020

- Advertisement -