Peranan NGO penting bantu rakyat di era COVID-19

- Advertisement -

TAMBUN: Badan Bukan Kerajaan (NGO) sesuai menjadi platform bagi orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan, demikian kata Pengerusi Pertubuhan Komuniti Peduli Ipoh (PKPI), Ustaz Md Salleh Said.

- Advertisement -

Menurutnya, berikutan pandemik COVID-19, banyak keluarga khususnya golongan B40 terpaksa menghadapi kesempitan hidup terutamanya urusan perbelanjaan keluarga masing-masing. 

“Kita sedia maklum (musim) COVID-19 ini, ramai golongan yang hilang mata pencarian. Ia bukan sahaja berlaku kepada penduduk luar bandar, (malah) orang yang tinggal di bandar juga turut menghadapi ujian yang sama.

“Islam mengajar umatnya agar sentiasa bantu-membantu antara satu sama lain. Apabila melihat saudara (dan) jiran kita (berada) dalam kesusahan, kita wajib membantu (mereka) semampu yang boleh.

“Jika orang kiri (rumah) kita orang susah, kita perlu bantu. (Sekalipun) mereka bukan Islam,” pesannya dalam program sumbangan kepada keluarga asnaf anjuran PKPI di Taman Mewah, Tanjung Rambutan, di sini kelmarin.

Melalui usaha murni itu jelasnya, ia mampu meninggalkan kesan positif kepada masyarakat iaitu menyuburkan amalan tolong-menolong dan menghapus sifat bakhil, sekali gus berupaya membentuk sifat mahmudah.

Oleh hal demikian, serunya seluruh masyarakat hendaklah memanfaatkan kecanggihan teknologi serba moden kini dengan berlumba-lumba membuat kebajikan antaranya amalan bersedekah melalui transaksi atas talian, menyebarkan poster-poster sumbangan dana dan lain-lain lagi.

“Kadang kita tiada masa (mahupun) tenaga (untuk) turun padang bantu (NGO) sampaikan sumbangan. (Tapi) kita tidak boleh jadikan itu alasan untuk tidak beramal. Kita boleh rebut peluang bersedekah ataupun sebarkan kutipan sumbangan di media sosial masing-masing.

“Secara tidak langsung usaha itu dapat memudahkan urusan mereka membantu orang lain,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 9/11/2020

- Advertisement -