Ustaz Rosli serah kunci Rumah Budi 1.0

KUANTAN: Rumah Budi DUN Tanjung Lumpur 1.0 yang dimulakan pembinaannya awal tahun ini telah sempurna siap dan diserahkan kunci rumah kepada pemiliknya, di sini kelmarin.

Advertisement

Rumah berkonsepkan ‘Dari Rakyat Untuk Rakyat’ ini merupakan inisiatif untuk membantu mereka yang kurang berkemampuan atau menggantikan rumah penduduk yang terlalu usang.

Majlis ringkas penyerahan kunci rumah telah disampaikan ADUN Tanjung Lumpur, Ustaz Rosli Abdul Jabar di hadapan Rumah Budi 1.0 di Kampung Peramu, Tanjung Lumpur, di sini.

Penerima sulung inisiatif ini adalah keluarga pasangan suami isteri, Mohd Hafiz Redzuan Rahman dan Nurul Aida Mahussin yang juga seorang Guru PASTI di Tanjung Lumpur.

“Rumah Budi 1.0 adalah initiatif dari Pejabat ADUN Tanjung Lumpur bagi tujuan untuk membantu mereka yang tidak berkemampuan, dengan syarat pembinaan rumah tersebut mestilah diatas tanah sendiri, bukan tanah sewa atau pun rumah sewa.

“Rumah Budi DUN Tanjung Lumpur 1.0 dibina dalam masa hampir 3 bulan dengan kos hampir RM45,000 di mana semua kos ini adalah dari dana Pejabat ADUN dan juga melalui sumbangan orang ramai,” terang Ustaz Rosli.

Beliau juga sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang, menghargai semua yang terlibat terutama kepada para penyumbang dermawan dan doanya agar Allah menjadikan sumbangan itu sebagai amal berkat dan saham akhirat.

“InsyaAllah Rumah Budi DUN Tanjung Lumpur 2.0 akan dibina pula di Kampung Kempadang dalam masa terdekat ini. Semoga muslimin dan muslimat dapat terus menyumbang untuk dana pembinaan yang kedua ini.

“Di samping membaik pulih rumah-rumah uzur golongan miskin dan membantu mereka yang memerlukan,” ujar beliau memetik ayat 261 surah al-Baqarah mengenai kelebihan usaha seperti itu.

Majlis ringkas itu turut di hadiri oleh Ketua As-Sabiqun Pahang, Ustaz Ismail Mohamed dan Ketua Penyelaras Pemuda DUN Tanjung Lumpur, Mohd Asri Harun. – HARAKAHDAILY 9/11/2020