TAMBUN: Gotong-royong mampu mengeratkan silaturrahim sesama manusia sejagat serta berpeluang besar menjadi tempat menyatukan ukhwah, kata Pengarah Komunikasi Strategik Kerajaan Negeri Perak, Ustaz Hafez Sabri.
“Program seperti ini sangat memerlukan kerjasama semua. Ia mampu membentuk kesatuan yang lebih kuat kepada komuniti masyarakat. Keterlibatan semua segmen ini (juga) mampu memupuk semangat bagai aur dengan tebing.
“Hari ini (turut) hadir rakan-rakan non-Muslim dari MBI. Ini juga satu perkara yang penting bagi Malaysia yang merupakan sebuah negara majmuk. Dengan program hari ini, kita berjaya memupuk perpaduan antara kita,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program gotong-royong membersih gelanggang futsal, di Jalan Serindit, Kampung Datuk Ahmad Said Tambahan (KDAST) 2, di sini semalam.
Menurutnya, program ini mampu menghidupkan budaya kerjasama melalui sokongan kuat daripada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Kelab Rukun Tetangga (KRT) dan lain-lain lagi.
Bukan itu sahaja, malah Ikon Anak Muda DUN Manjoi itu turut menyeru agar semua lapisan masyarakat bersatu hati menghidupkan jalinan kerjasama dan bertoleransi sesama masyarakat bagi melahirkan sebuah negara sejahtera.
Sementara itu, Pengarah Program, Muhammad Mahathir Abdullah ketika ditemui berkata, pihaknya melalui NGO Prihatin berharap agar program yang baik ini dapat diteruskan di masa akan datang kerana.
Hal ini kerana menurutnya, ia bukan sahaja mampu menyihatkan tubuh badan, malah dapat melahirkan persekitaran yang kondusif kepada penduduk setempat khususnya bagi membasmi pembiakan nyamuk aedes.
“Ini merupakan program gotong-royong kedua dalam tempoh terdekat ini yang dijayakan oleh NGO Prihatin Rakyat. InsyaAllah, kita akan usahakan lagi untuk masa akan datang.
“Alhamdulillah gotong-rotong hari ini turut mendapat kerjasama daripada Ahli Majlis Bandaraya Ipoh, Syed Mohd Noor Hisam Syed Hassan di mana pihaknya menyediakan peralatan untuk gotong-royong,” tambahnya lagi.
Program rotong royong membersih gelanggang futsal ini merupakan anjuran Pertubuhan Prihatin Rakyat dengan kerjasama PAS DUN Manjoi, MBI, JPKK KDAST 2, KRT KDAST 2, Kelab Takraw Lebuh Rajawali, Masjid As-Saadah, Surau Muhammadiah KDAST 2 Jalan Tiong dan Surau Ehsaniah KDAST 2. – HARAKAHDAILY 9/11/2020