PKPB tidak halang sidang Dun Kedah

- Advertisement -

ALOR SETAR: Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah yang dijadualkan diadakan pada 15 hingga 19 November ini diteruskan dengan mematuhi peraturan serta prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Speaker Dun Kedah Johari Bulat berkata, jemputan hanya terhad kepada Adun dan ketua-ketua jabatan yang terlibat sahaja, manakala tetamu tidak dibenarkan.

- Advertisement -

“Semua Adun perlu menjalani ujian saringan Covid-19 tiga hari sebelum bersidang dan keputusannya hendaklah dilampir bersama ketika masuk dewan nanti,” ujar beliau di sini, hari ini.

Kelmarin kerajaan mengumumkan pelaksanan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) diperluaskan yang turut melibatkan Kedah bermula 9 November sehingga 6 Disember depan.

Johari juga berkata, sanitasi dalam Dun melibatkan permukaan kritikal seperti pintu, meja, pembesar suara akan dilakukan sebelum persidangan berlangsung.

Menurutnya juga tempat duduk Adun akan dipasang pengadang lut sinar.

“Saya berharap semua yang terlibat dapat mematuhi arahan dan SOP, pakai pelitup muka, menjaga penjarakan sosial dan memeriksa suhu badan serta deklarasi kesihatan melalui aplikasi MySejahtera,” katanya yang juga Adun Air Hangat.

Beliau juga berkata, petugas media tidak dibenarkan masuk ke dalam dewan, namun mereka boleh mengikuti sidang berkenaan melalui video telecast di tempat disediakan. – HARAKAHDAILY 9/11/2020

- Advertisement -