Prestasi Malaysia meningkat 24 peratus

Gambar sekadar hiasan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Prestasi eksport Malaysia meningkat sebanyak 24 peratus daripada RM210.3 bilion pada suku kedua kepada RM260.6 bilion pada suku ketiga tahun ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato’ Lim Ban Hong, berkata ia susulan penglibatan aktif Malaysia dalam perdagangan antarabangsa yang telah menyebabkan permintaan produk buatan Malaysia meningkat meskipun negara masih berdepan dengan pandemik Covid-19.

- Advertisement -

Katanya, berdasarkan laporan Malaysia’s Trade Statistics Review Vol. 1/2020 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada Jun 2020, sebahagian besar daripada industri berorientasikan eksport di Malaysia pada tahun 2019 mempunyai kebergantungan yang tinggi terhadap barangan import.

“Barangan import utama adalah terdiri daripada barangan perantaraan (intermediate goods) dengan sumbangan 50 peratus diikuti oleh barangan modal (capital goods) sebanyak 12 peratus dan barangan penggunaan (consumption goods) sebanyak sembilan peratus.

“Kebergantungan yang tinggi terhadap barangan perantaraan (intermediate goods) yang diimport rata-ratanya tidak dikenakan tarif akan mengurangkan kos perkilangan industri tempatan dalam menghasilkan barangan akhir untuk pengguna tempatan atau bagi tujuan eksport,” katanya ketika sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Dato’ Seri Mukhriz Mahathir (BEBAS-Jerlun) meminta penjelasan penekanan kepada perdagangan antarabangsa terutamanya dengan membuka pasaran tempatan kepada barangan import tanpa dikenakan tarif akan mengekang industri tempatan khususnya dalam sektor teknologi tinggi.

Mengulas lanjut, Ban Hong berkata walaupun sebilangan besar barangan tersebut diimport tanpa dikenakan tarif, ianya tidak mengekang pertumbuhan industri tempatan.

Sebaliknya kata beliau, ia membantu dalam perkembangan industri berkenaan termasuk sektor berteknologi tinggi bila mana para pengilang mempunyai pilihan bahan mentah dan barangan perantara yang lebih murah dan berkualiti untuk aktiviti perkilangan mereka.

Malahan, jelasnya ia juga dapat membantu meningkatkan kapasiti syarikat Malaysia termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk lebih berdaya saing dan seterusnya menerokai pasaran antarabangsa. – HARAKAHDAILY 9/11/2020

- Advertisement -