Belanjawan yang menyeluruh

- Advertisement -

MASJID TANAH: Pengerusi Lajnah Ekonomi PAS Negeri Melaka, Rafie Ahmad (gambar) berkata Belanjawan 2021 bersifat menyeluruh dengan penekanan diberi kepada semua sektor utama dan kebajikan pelbagai lapisan masyarakat di negara ini.

- Advertisement -

“Bagi negeri Melaka khususnya, antara berita baik yang diumumkan oleh Menteri Kewangan melalui bajet 2021 yang dibentangkan pada hari Jumaat baru-baru ini ialah sejumlah RM150 juta telah diperuntukkan bagi projek penyaluran bekalan air mentah dari Sungai Kesang dan Tasik Biru ke Empangan Jus.

“Ini sekali gus akan dapat meningkatkan lagi mutu bekalan air di seluruh negeri Melaka serta dapat mengatasi masalah keputusan bekalan air yang sering terjadi seperti sebelum ini.

“Walau bagaimanapun dari sisi pandangan yang lain kita mengharapkan melalui perbahasan bajet ini nanti, Ahli-ahli Parlimen kita khususnya daripada PAS akan dapat menyuarakan kepada pihak kerajaan tentang peri pentingnya untuk menilai kembali hasrat sebahagian besar rakyat supaya pengeluaran minimum RM5,000 atau 10 peratus (yang mana lebih rendah) melalui akaun 1 KWSP kepada semua ahli dapat dipertimbangkan semula.

“Pengeluaran ini adalah yang tidak terhad kepada golongan sasar sahaja seperti yang diumumkan Menteri Kewangan dalam pembentangan lepas,” ujar beliau.

Tambah Rafie pengeluaran itu perlu dengan menggunakan kaedah yang lebih efektif dan segera, contohnya 60 peratus untuk pengeluaran bulan pertama dan baki 20 peratus untuk pengeluaran bulan kedua dan ketiga.

“Dengan kaedah ini sekurang-kurangnya pada bulan pertama mereka mendapat sejumlah RM3,000 yang boleh mereka gunakan untuk pelbagai keperluan hidup.

“Di samping itu kita juga mengharapkan agar kementerian pengajian tinggi dapat mengetengahkan kepada kementerian kewangan agar ‘skim baucar buku’ yang bernilai RM200-RM250 seperti yang pernah dibuat di era Perdana Menteri ke enam iaitu Dato’ Sri Najib Tun Razak dapat dikembalikan semula melalui bajet 2021. Ini kerana ianya amat membantu mahasiswa dan mahasiswi kita yang sebahagian besarnya terhimpit dengan bebanan ekonomi.

“Besarlah harapan kita agar perbahasan bajet ini nanti akan berlangsung dalam suasana harmoni dan akhirnya dapat diluluskan dengan beberapa penambahbaikan seperti yang dicadangkan di atas,” kata Rafie kepada Harakahdaily.

Sementara itu seorang kontraktor binaan, Sham Abu berharap kerajaan memberi tumpuan kepada kontraktor kecil supaya lebih memberi kelebihan kepada pusingan domestik ekonomi.

Apabila ditanya tentang harapan golongan kontraktor terhadap Belanjawan 2021 yang telah dibentangkan itu, Sham yang merupakan seorang kontraktor G1 berharap agar kerajaan dapat menyalurkan peruntukan dengan sebaik yang mungkin kepada setiap agensi dan jabatan-jabatan kerajaan untuk dimanfaatkan oleh lebih ramai kontraktor kecil.

“Apabila kontrak dalam amaun berskala kecil diberi kepada kontraktor G1 hingga G4 maka secara umum kebanyakan pekerja-pekerja yang terlibat adalah terdiri daripada orang-orang tempatan. Apabila ini berlaku, pendapatan hasil berlegar di sekitar ekonomi tempatan dalam negara.

“Dan kalau boleh bagi projek berskala kecil yang boleh dinikmati lebih ramai kontraktor kecil dan bukan satu projek berskala besar yang hanya dinikmati segelintir kontraktor besar sahaja,” ujar beliau.

Mewakili golongan kontraktor, beliau juga sangat berharap agar kerajaan dapat mengawal harga bahan binaan agar tidak berlaku kenaikan melampau kerana ia akan meningkatkan kos kepada kontraktor.

“Satu perkara yang harus diingat ialah kontraktor ini sebenarnya umpama ‘duta kecil’ kerajaan untuk rakyat melihat prestasi kerajaan. Jika kami dilihat banyak buat kerja maka rakyat akan berasa bahawa kerajaan telah memberi pembangunan terbaik kepada rakyat,” ujar Sham. – HARAKAHDAILY 8/11/2020

- Advertisement -