Belanjawan 2021 : Mahasiswa gembira kerajaan prihatin masalah pelajar

- Advertisement -

ARAU: Mahasiswa menyifatkan Belanjawan 2021 sebagai belanjawan prihatin kerajaan apabila hampir keseluruhan peringkat rakyat menerima manfaat yang telah diperuntukan.

Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Syahirunnisa Ramli berkata, pelbagai inisiatif telah digariskan oleh kerajaan untuk membantu mahasiswa mengikuti norma baharu pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian.

- Advertisement -

Ujar Syahirunnisa, peruntukan untuk menaik taraf talian akses Malaysian Research & Education Network (MYREN) kepada 500 Mbps hingga 10Gbps juga diharap dapat memberi manfaat kepada mahasiswa dalam memastikan komunikasi di internet di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) berada pada tahap terbaik.

“Selain itu, bagi memastikan PdP dapat dilaksanakan dengan berkesan, kemudahan asas ODL (Open Distance Learning) merupakan perkara yang perlu diambil kira oleh kesemua pihak dan ia termasuk aspek kemudahan prasarana yang mana permasalahan yang sering diketengahkan kepada kami ialah masalah komputer riba yang tidak mempunyai kemudahan kamera dan perisian terkini.

“Justeru inisiatif kerajaan melalui kerjasama dengan Bank Simpanan Nasional (BSN) yang menyediakan skim pinjaman komputer riba kepada peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) merupakan langkah tepat dalam memastikan pelajar mempunyai kemudahan untuk mengikuti kuliah secara dalam talian,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Syahirunnisa turut menyokong semua inisiatif yang digariskan kerajaan dalam aspek pemerkasaan program latihan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) yang diharap dapat menarik minat pelajar-pelajar sekolah untuk menyambung pengajian dalam bidang teknikal di universiti kelak.

Sebagai wakil pelajar dari universiti yang berteraskan teknikal, beliau berkata pemerkasaan bidang TVET juga diharap dapat melahirkan graduan yang mempunyai kemahiran teknikal tinggi dengan penglibatan industri yang lebih menyeluruh.

“Semua sedia maklum, apabila kita berbicara tentang aspek teknikal dan vokasional ia tidak dapat lari dari perkembangan teknologi. Justeru melalui peruntukan sebegini secara tidak langsung dapat membantu pihak-pihak penawar program kemahiran TVET menaik taraf prasarana dan kemudahan masing-masing.

“Ia seterusnya dapat memberi nilai tambah kepada graduan TVET untuk mendapatkan pekerjaan yang setimpal dengan kemahiran yang dimiliki,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 8/11/2020

- Advertisement -