Belanjawan 2021 terbuka untuk dibahas – Takiyuddin

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, menyampaikan 'wish list' Kerajaan Negeri kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Parlimen dan Undang-Undang), Dato' Takiyuddin Hassan di Wisma Darul Aman tadi.

ALOR SETAR: Belanjawan 2021 merupakan bajet luar biasa kerana disediakan secara khusus dalam keadaan negara dilanda badai pandemik Covid-19 yang memaksa rakyat menjalani norma baharu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Parlimen dan Undang-Undang), Dato’ Takiyuddin Hassan berkata, bajet 2021 bukan sahaja mengutamakan nyawa tetapi juga kehidupan untuk seterusnya.

Advertisement

“Bajet kali ini tidak boleh dibanding seperti waktu biasa seperti dahulu, bantuan yang diperuntukan tidak bercadang untuk mendapat pulangan kembali dari rakyat tetapi ia lebih kepada sumbangan kepada mereka.

“Berikutan itu ia terbuka kepada perbahasan terutama kepada pihak pembangkang sekiranya tidak berpuas hati atau memerlukan lebih penjelasan dari pihak kerajaan,” jelasnya memberi respon ekoran timbul persoalan dari pihak pembangkang berkenaan peruntukan sejumlah RM81 juta kepada Jabatan Hal-Ehwal Khas (JASA).

Beliau yang ditemui di Wisma Darul Aman di sini hari ini, berkata lagi, Parlimen akan bersidang untuk perbahasan dasar selama lapan hari sementara 11 hari untuk jawatankuasa setiap agensi dan dalam tempoh itu (sehingga 15 Disember) ahli-ahli Parlimen bebas untuk berbahas.

Menyentuh berkenaan penglibatan parti pembangkang di dalam Jawatankuasa Majlis Perunding Peringkat Nasional, beliau sangat mengalu-alukan kerana dengan cara demikian kesukaran mengurus bencana dapat dirasai sendiri oleh mereka dan secara tidak langsung tohmahan terhadap kerajaan dapat dikurangkan.

“Saya yakin Belanjawan 2021 ini diterima kerana ia bajet yang baik dan selaras dengan titah KDYMM Yang Di-Pertuan Agung,” ujar beliau lagi. – HARAKAHDAILY 8/11/2020