Belanjawan 2021 adalah komprehensif

Foto TTGAsia.com
- Advertisement -

LAJNAH Ekonomi Hartanah dan Pembangunan Usahawan PAS Pusat telah meneliti kandungan Belanjawan 2021 yang telah dibentangkan dengan jayanya oleh YB Menteri Kewangan.

Kami berpandangan belanjawan kali bersifat komprehensif dengan penekanan kepada elemen-elemen penting untuk mengembangkan lagi ekonomi Malaysia secara keseluruhan dan meneruskan usaha menangani pandemik Covid-19.

- Advertisement -

Berikut adalah ulasan awal kami terhadap beberapa kandungan penting yang boleh memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi untuk tahun 2021, yang dinyatakan di dalam belanjawan tersebut:

Pendekatan berimbang

Secara keseluruhan di dalam Belanjawan 2021 ini kerajaan mengambil pendekatan berimbang di antara mengekalkan pendapatan kerajaan dan meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat. Ini bukan suatu usaha yang mudah dalam suasana ekonomi yang teruk terjejas akibat pandemik Covid-19.

Penerusan Pakej Prihatin

Bagi mengekalkan pertumbuhan permintaan langkah kerajaan mencadangkan penerusan Pakej Prihatin di samping beberapa insentif cukai kepada rakyat akan mampu untuk meningkatkan lagi pendapatan boleh guna rakyat. Ini secara langsung akan terus menyokong permintaan, hasil daripada pengukuhan kuasa beli dan kemampuan rakyat untuk berbelanja. Antara insentif cukai yang dicadangkan adalah:

a. Penurunan kadar cukai pendapatan sebanyak 1 mata peratusan bagi banjaran pendapatan bercukai RM50,001 hingga RM70,000.

b. Had pengecualian cukai pendapatan bagi bayaran pampasan atas kehilangan pekerjaan akan dinaikkan daripada RM10,000 kepada RM20,000 setiap tahun genap perkhidmatan bagi tempoh 2 tahun taksiran.

Berdasarkan jangkaan sehingga akhir tahun 2020 permintaan domestik Malaysia adalah tumbuh pada kadar 1.6 peratus untuk sektor awam dan menguncup 0.7 peratus untuk sektor swasta.

Untuk 2021 jangkaan permintaan ialah akan tumbuh pada kadar 2.0 peratus untuk sektor awam dan 7.1 peratus untuk sektor swasta. Jangkaan pertumbuhan permintaan swasta ini adalah realistik berdasarkan beberapa inisiatif yang berpusat kepada rakyat sebagaimana yang disentuh di atas.

Insentif kepada pelabur bagi menyokong pertumbuhan ekonomi

Kerajaan juga dilihat memberikan tumpuan kepada usaha untuk terus menarik pelaburan bagi terus menyokong pertumbuhan ekonomi. Apa yang menarik adalah beberapa insentif bagi menarik pelaburan ini adalah dengan strategi ke arah menjadikan Malaysia hub aktiviti ekonomi serantau. Ini sudah tentu mampu bagi menyokong pertumbuhan pengeluaran dan meningkatkan lagi peluang pekerjaan kepada rakyat. Antara cadangan kerajaan adalah:

a. Melonggarkan syarat galakan cukai untuk hub prinsipal dan galakan tersebut dilanjutkan sehingga 31 Disember 2022.

b. Penurunan kadar cukai bagi penubuhan Global Trading Centre kepada kadar konsesi 10 peratus bagi tempoh 5 tahun dan boleh diperbaharui bagi tempoh 5 tahun lagi.

c. Pelanjutan penawaran kadar cukai istimewa kepada syarikat pengilang terpilih yang memindahkan lokasi perniagaan ke Malaysia dan membuat pelaburan baharu dengan pemberian kadar cukai pendapatan 0 hingga 10 peratus untuk tempoh 10 tahun.

Di samping usaha di atas kerajaan terus memperkenalkan insentif bagi terus menyokong kelangsungan dan pertumbuhan aktiviti ekonomi domestik sedia ada.

Penekanan kerajaan kepada sektor tradisi

Di samping itu kerajaan melalui belanjawan ini juga telah secara spesifik memberikan penekanan kepada beberapa sektor tradisi yang penting bagi terus menyokong ekonomi, iaitu sektor pembinaan dan pembuatan.

Apa yang menarik bagi sektor pembinaan ialah di samping beberapa projek infrastruktur awam, tumpuan khusus juga diberikan terutama yang berkait dengan meningkatkan pemilikan rumah.

Ini sudah pasti akan mampu menyuntik faktor pekali yang tinggi dan memberi kesan langsung kepada ekonomi.

Untuk tahun 2021 sektor pembinaan dijangka akan tumbuh sebanyak 13.9 peratus.

Untuk sektor pembuatan pula beberapa cadangan adalah dilihat dengan tujuan untuk meningkatkan pengeluaran terutama bagi tujuan ekspot.

Ini sudah pasti akan berupaya untuk meningkatkan perdagangan antarabangsa dengan penumpuan kepada industri strategik seperti penjagaan kesihatan.

Untuk tahun 2021 sektor pembuatan dijangka akan tumbuh sebanyak 7 peratus.

Jangkaan pertumbuhan permintaan dan pengeluaran

Dengan jangkaan permintaan dan pengeluaran yang akan terus tumbuh dalam tahun 2021 ini adalah penting rakyat disediakan untuk mengisi lebih banyak peluang-peluang pekerjaan yang akan terhasil, yang secara langsung akan mengurangkan kadar pengangguran. Justeru beberapa langkah strategik kerajaan yang dicadangkan dalam belanjawan bagi meningkatkan peluang pekerjaan akan menjadi pelengkap untuk memastikan ekonomi terus tumbuh dalam tahun 2021.

Belanjawan 2021 ke arah RMKe-12

Beberapa strategi khusus di dalam belanjawan dilihat dengan tujuan untuk menyediakan Malaysia ke arah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), juga adalah tepat. Ini bagi memastikan perancangan yang terperinci dan pelaksanaan yang efektif RMKe-12 yang akan menggantikan RMKe-11 yang akan tamat pada tahun ini.

Akhir sekali berdasarkan analisa dan simulasi, kami mensasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara akan tumbuh pada kadar sekitar 7 peratus untuk tahun 2021.

MAZLI NOOR
Timbalan Pengerusi 2
Lajnah Ekonomi, Hartanah & Pembangunan Usahawan PAS Pusat – HARAKAHDAILY 8/11/2020

- Advertisement -