Seruan solat hajat, bacaan Yaasiin dan doa setiap hari

- Advertisement -

MEMANDANGKAN Malaysia telah memasuki fasa ke-3 pandemik COVID-19, Dewan Muslimat PAS Malaysia menyeru dan mengajak seluruh rakyat Malaysia umumnya, dan Muslimat PAS khususnya untuk sama-sama beriltizam melaksanakan solat hajat, bacaan Yaasiin dan doa pada setiap hari selepas Solat Maghrib.

Mudah-mudahan berkat usaha menggunakan senjata paling ampuh umat Islam iaitu doa dan munajat, Allah S.W.T akan terima permohonan dan permintaan agar Malaysia kembali pulih dan bebas dari wabak COVID-19 yang semakin hari semakin tidak menentu jumlah kes baharu yang dicatatkan.

Selain itu, kita juga memohon dan berdoa agar Allah S.W.T sentiasa memberikan petunjuk dan kebenaran kepada para pemimpin yang memimpin negara agar dapat melaksanakan amanah kepimpinan dengan adil dan saksama dan membawa Malaysia ke arah yang lebih sejahtera insyaAllah.

- Advertisement -

Sebagai umat Islam dan hamba Allah S.W.T, kita berpegang kepada ayat Allah dalam surah Ghafir ayat 60 yang bermaksud:

“Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.””

Justeru sekali lagi saya mewakili seluruh kepimpinan DMPM menyeru, merayu, mengajak dan memohon seluruh umat Islam terutamanya untuk kita sama-sama melazimi solat hajat, bacaan yasin dan munajat dengan sepenuh pengharapan dan keyakinan tanpa pernah rasa jemu.

YB SENATOR USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua
Dewan Muslimat PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 6/11/2020

- Advertisement -