Sedekah aku tidak diterima Allah?

Monolog seorang hamba bermuhasabah amalan diri

- Advertisement -

SUDAH lama diri ini berniat untuk berkongsi rezeki kurniaan Allah S.W.T ini kepada sesiapa yang memerlukan. Sejumlah wang sudah disediakan, sekarang hanya tinggal mencari penerima untuk diserahkan sedekah itu. 

Tetapi pernah terjadi, ketika mahu diberikan sedekah itu kepada mereka yang memerlukan, tangan menjadi terhenti untuk menghulurkan. Bukan kerana menahan dari memberi, tetapi dalam ramai manusia yang ditemui hari itu seperti tidak ada penerima atau peminta atau memerlukannya.

Ditakdirkan Allah niat itu tidak kesampaian, orang yang berhak, dicari-cari seperti tidak wujud dalam lautan manusia. Tersentak, terasa seolah-olah Allah menolak diri ini. Sedekah untuk diberikan kepada sesama manusia, tidak diterima-Nya.

- Advertisement -

Selalu sahaja menemui tabung atau pihak yang berada statik di mana-mana meminta sedekah. Itu biasa, tapi bila diri berniat untuk memberi sedekah, tiba-tiba tidak menemui dalam kalangan ramai manusia ‘orang yang hendak dicari itu’. Ralat dan masih mencari jawapannya. “Kenapa dan mengapa?” Tertanya-tanya di fikiran, “Apakah Allah menolak amalan sedekah diri ini?”

Kisah ini mengingatkan kepada sifat zuhud dan dermawan Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (TGNA), seorang tokoh dan ulamak yang dikenali ramai. Sedia dimaklumi semasa Almarhum menjadi Menteri Besar Kelantan betapa Almarhum sangat menjaga harta rakyat sehinggakan sebatang pen hak milik kerajaan pun takut untuk dibazirkan.

Tersebar juga kisah Almarhum solat dalam gelap di pejabat kerana takut membazir elektrik. Subhanallah betapa tinggi sifat kezuhudan dalam diri ulamak ini. Sifat dermawan Almarhum juga terserlah melalui kehidupannya yang sangat sederhana. Gaji sebagai Menteri Besar dipotong untuk fakir miskin, bahkan setiap kali bulan Ramadan, tidak akan ada yang pulang dengan tangan kosong andai ada yang meminta bantuan darinya.

Bila dikaitkan kembali, pasti Almarhum Tuan Guru Nik Aziz juga pernah berfikir perkara yang sama. Ingin sahaja beliau memberi segala yang terdaya kepada sekalian hamba Allah yang memerlukan di muka bumi ini. Hinggakan tiada yang insan lain yang curiga dan terasa, malah diri yang memberi sedekah ini juga tidak rasa serba salah. 

Namun, hakikatnya kita masih tidak punya daya kerana semua atas urus tadbir dan ketentuan Allah S.W.T. Tertulis di dalam kitab suci al-Quran:

“Adakah manusia itu menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami telah beriman, sedang mereka tidak diuji? Dan demi sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar beriman dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang berdusta.”

(al-Ankabut: 2-3)

Kemiskinan satu ujian, diberi kekayaan juga satu ujian. Malah, terhalang melakukan satu kebaikan juga satu ujian yang pastinya tersimpan suatu hikmah. 

Sedekah tidak perlu tunggu kaya, bersedekah sehingga menjadi kaya. Sedekah di saat sempit itu adalah yang paling bahagia. Kerana yakin kepada janji-Nya, bahawa terlalu banyak ganjaran orang yang suka memberi. Seandainya kita tidak mampu sedekah harta, gunalah segala nikmat kurniaan Allah S.W.T ini untuk perkara kebaikan. 

Sedekah ilmu, bakat, kemahiran, bantuan malah senyum dan memberi salam kepada insan lain juga satu sedekah yang cukup tinggi nilainya. Berdoalah kepada Allah S.W.T supaya diberi hati yang ikhlas dalam memberi. Syukur saat menerima dan berazam agar suatu hari menjadi seperti Almarhum Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat serta ramai lagi para dermawan yang kaya harta dan jiwa di luar sana. Amin, InsyaAllah

AQILA ABD 
6 November 2020 – HARAKAHDAILY 6/11/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -