Amalnita bantu ibu tunggal pesakit tulang belakang

- Advertisement -

KUANTAN: Amalnita Pahang telah menjengah ujian hidup dilalui seorang balu, Nurhafizah Abd Razak, 32, bersama anaknya, Muhammad Izaryll Shahrul Azreem, 7, di Lorong Wong Ah Jang, di sini kelmarin.

- Advertisement -

Beliau yang merupakan pesakit tulang belakang dan tidak dapat berjalan dengan sempurna sejak dua tahun lalu, baharu sahaja kematian suami, Shahrul Azreem Abdul Karim seminggu lalu kerana diabetis.

Pengerusi Amalnita Pahang, Rosmawati Bohari hadir bersama suami yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang, Ustaz Mohd Tarmizi Yahya dan AJK Amalnita Pahang, Wan Haniza Wan Mohd.

Mereka menjadi saksi kepayahan dilalui setelah mengetahui dari guru Sekolah Kebangsaan Sultan Abdullah (SKSA), Hafizah Yahya dan Nurzaniwati Salleh yang membantu menunjukkan kediaman dua beranak ini.

Perkhabaran keluarga ini dimaklumkan mereka setelah pihak sekolah mendapati Izaryll tidak hadir ke sekolah dalam tempoh yang agak lama dan Nurhafizah pula dibantu sahabatnya seorang ibu tunggal, Norzarina Abdul Rahman.

Pada pertemuan itu, Rosmawati menitipkan kata-kata perangsang memberi semangat agar Nurhafizah terus tabah menempuh liku-liku hidupnya dan sentiasa redha menerima segala ketentuan telah ditetapkan oleh Allah S.W.T.

“Allah sayangkan kita semua. Selagi hidup kita semua akan diuji dan ujian untuk kita berbeza-beza. Jadikan ujian ini sebagai hikmah dan jalan untuk lebih dekat dengan Allah,” ujarnya.

Rosmawati berjanji akan mengatur urusan untuk mengubahsuai bilik kecil dihuni keluarga ini menjadi kediaman yang lebih selesa dan berharap masyarakat juga tampil membantu bagi meringankan beban keluarga ini.

Ketika ini Nurhafizah hanya menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menampung kos sara hidup termasuk rawatan sakit dideritainya serta persekolahan anaknya Izaryll.

Sumbangan boleh dibuat melalui akaun Maybank 5560 1100 9756 Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang atau hubungi Bendahari, Razak Zain di talian 017-988 8879. – HARAKAHDAILY 6/11/2020

- Advertisement -