Razman komited tambah baik pendidikan di Perak

- Advertisement -

IPOH: Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Negeri Perak, Razman Zakaria telah mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Radzi Jidin di Putrajaya semalam.

- Advertisement -

Jelasnya pertemuan  itu bertujuan membincangkan hasrat Kerajaan Negeri Perak ke arah meningkatkan pencapaian akademik khususnya peperiksaan Sijil Pelajaran Malysia (SPM) negeri ini ke tangga lima terbaik di Malaysia.

Dalam pada itu, Razman turut memohon pertimbangan dan perhatian daripada Menteri mengenai isu pembinaan Sekolah Seni Malaysia Perak dan pembinaan sekolah berasrama penuh khusus untuk komuniti Orang Asal di Tapah yang merupakan hasrat utama Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

“Di Perak, kita ada sebuah sekolah seni (iaitu) di SMK Muhibbah, Sungai Siput. Kita memerlukan penambahbaikan infrastruktur sekolah seperti studio kedap bunyi dan lain-lain lagi. Usaha ini juga selari dengan hasrat MB yang ingin menjadikan SMK Muhibbah sebagai sekolah angkat di bawah Pejabat MB Perak.

“Meskipun, sekolah Seni Malaysia Perak ini beroperasi tanpa kemudahan studio yang lengkap mengikut skop seni, namun mereka berjaya menunjukkan prestasi cemerlang apabila memenangi pelbagai acara seni termasuk di luar negara,” ujarnya.

Terdahulu, SMK Muhibbah telah merangkul juara dunia di Monolit International Talents di Costa Brava, Spain dan Gold Awards di International Youth Culture and Arts Festival menewaskan lapan negara lain seperti China, Jepun, Korea, Singapore, Thailand, Filipina, Indonesia dan Rusia.

Selain itu Razman berkata, pihaknya mencadangkan agar konsep sekolah model khas khusus untuk anak-anak B40 yang cemerlang di Redang Panjang, Batu Kurau Perak diangkat sebagai satu model pendidikan untuk jangka masa panjang bagi membantu golongan B40.

“Konsep sekolah model khas ini amat bagus sekiranya diwujudkan di setiap negeri. Sekolah ini menyediakan pelbagai inisiatif untuk membantu pelajar yang terdiri daripada golongan asnaf antaranya menawarkan asrama sebagai tempat penginapan mereka.

“(Maka) saya kira ia sewajarnya diangkat menjadi satu model pendidikan bagi memastikan setiap pelajar mendapat pendidikan terbaik (kerana) pendidikan adalah untuk semua. Tiada yang boleh tertinggal mahupun tercicir,” ujar Razman.

Dalam pada itu, Razman berkata, pihaknya melalui Kerajaan Negeri Perak akan sentiasa bersedia memberi kerjasama dan menyumbang kepakaran kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi merealisasikan segala hasrat yang dibincangkan. – HARAKAHDAILY 6/11/2020

- Advertisement -