Sedekah: Amal yang berkat, saham akhirat

- Advertisement -

SEDEKAH adalah satu amal soleh yang tidak asing dalam masyarakat Islam. Pemberian sedekah menjadi satu budaya kebiasaan di dalam masyarakat manusia. Orang yang memberi sedekah dikenali sebagai dermawan dan pemurah sedangkan orang yang tidak suka memberi sedekah dikenali orang yang bakhil lagi kedekut dan keras hati.

Islam tidak menetapkan tanggungjawab memberi sedekah ini dengan undang-undang yang berbentuk wajib dan juga kewajipan-kewajipan berbentuk mesti, sebaliknya Islam mahu mendidik jiwa umatnya untuk berkorban memberi harta yang dia punyai dan sayangi untuk membantu golongan yang tidak berkemampuan. Akhlak ini sangat mulia dan disanjung tinggi kerana orang yang menerima pemberian sedekah ini merasai diri mereka dihargai dan dibela oleh masyarakat.

- Advertisement -

Allah sebut hal ini di dalam al-Quran:

“Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh butir, pada tiap-tiap butir seratus biji. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui”.

(al-Baqarah: 261)

Dengan itu umat Islam mestilah meyakini dan mempercayai firman Allah yang sudah terang dan nyata tanpa ada sebarang kesamaran, ini menggambarkan yang setiap amalan soleh atau infak di jalan Allah yang dilakukan oleh setiap manusia akan Allah gandakan ganjaran-Nya.

Dan sabda Nabi S.A.W:

“Sesungguhnya sedekah itu memadamkan murka Tuhan dan mencegah dari mati yang celaka.”

(At-Tirmidzi dan menurut Hadis ini hasan)

Sebenarnya sedekah itu tidaklah hanya berupa pembelanjaan harta sahaja, bahkan kebaikan apa sahaja, sebenarnya juga merupakan sedekah. Kerana ada Hadis yang diriwayatkan secara sahih dari Rasulullah S.A.W:

“Baginda pernah bersabda, “Setiap orang wajib bersedekah” para Sahabat bertanya, “Ya Rasulullah, bagaimanakah orang tidak berada?” Jawab Rasulullah S.A.W, “Dia bekerja dengan tangannya, pekerjaan itu bermanfaat bagi dirinya, dan dia boleh bersedekah”. Mereka bertanya pula: “Jikalau dia tidak dapat?” jawab Rasulullah S.A.W: “Dia menolong orang yang sengsara yang memerlukan pertolongan” mereka bertanya lagi, “kalau tidak ada?” jawab Rasulullah S.A.W: “Lakukanlah kebaikan dan cegahlah diri dari melakukan keburukan. Baginya itu pun sedekah.””

(Riwayat Bukhari)

“Diriwayat yang lain Baginda S.A.W telah bersabda yang bermaksud: “Setiap orang wajib melakukan sedekah saban hari selagi matahari masih terbit. Antara lain mendamaikan antara 2 orang yang bersengketa, itu pun sedekah. Dan bila orang membantu manaikkan seseorang ke atas kenderaannya, itu pun sedekah. Atau dia angkut barangnya ke atas belakang kenderaan, itu pun sedekah. Dan menyingkirkan duri dari jalan, itu pun sedekah. Bahkan setiap langkah ketika ia berjalan untuk melakukan solat, itu pun sedekah”.”

(Riwayat Ahmad)

Dan ingatan dari Allah lagi:

“Dan orang-orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat, dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan serta menolak kejahatan dengan kebaikan; orang-orang itulah yang mendapat tempat kesudahan (yang baik).”

(ar-Ra’d: 22)

Bidang sedekah sangat luas, ia bukan tertentu kepada suatu perkara atau perbuatan sahaja tetapi apa sahaja perbuatan baik adalah dikira sedekah. Nabi S.A.W banyak menggambarkan hal ini di dalam Hadis Baginda, di antaranya:

“Apabila mati seorang manusia maka terputuslah amalannya kecuali 3 perkara: Daripada sedekah jariahnya, ilmu yang dimanfaatkan dan anak yang soleh yang sentiasa mendoakan untuknya”.

(Riwayat Muslim)

Jadi ilmu yang diajarkan menjadi sedekah untuknya, kerana pahalanya akan berkekalan walaupun dia sudah meninggal dunia. Samalah juga dengan doa anak yang soleh yang mendoakan untuk ibu bapanya juga dikira sedekah jariah yang berkekalan sehingga hari kiamat.

Berdasarkan hujah-hujah di atas, setiap hal yang baik yang dilakukan, yang memberi manfaat kepada orang lain dikira sedekah, yang berterusan pahalanya, yang diberikan kepada mereka. Sedekah bukan sahaja berkisar dari wang dan harta sahaja tetapi juga perkara-perkara lain yang disebutkan di atas.

Lain-lain ganjaran luar biasa dari amalan sedekah ini ialah Allah akan tambahkan kita rezeki yang lebih banyak, Allah akan gantikan rezeki yang kita sedekahkan itu dengan sesuatu yang lebih baik, akan mendapat naungan Allah di hari kiamat kelak, kebajikan umat Islam sentiasa terbela, jiwa akan lebih tenang, jasa mereka akan sentiasa terpahat di hati manusia di langit dan di bumi dan menyelamatkan dia dari neraka.

Sabda Rasulullah S.A.W:

“Jagalah diri kalian dari neraka meskipun hanya dengan sedekah setengah biji kurma (sedekah tak perlu dengan kuantiti yang banyak dan mahal, memadai dengan hal-hal yang kecil tapi ikhlas)…”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dan satu perkara yang mesti difahami betul-betul dalam melakukan hal sedekah ini ialah setiap sedekah mestilah dari lubuk hati yang ikhlas tanpa menunjuk-nunjuk di hadapan orang ramai, agar amal tidak menjadi sia-sia.

Menghubungkan silaturahim antara sesama manusia juga dikira sedekah kerana asas kekuatan Islam adalah persaudaraan Islam. Perbalahan tidak membawa manfaat cuma akan menjerumuskan umat Islam ke lembah kehancuran dan kehinaan.

Sedekah yang paling Allah suka atau terbaik ialah sedekah kepada kaum kerabat yang dia musuhi dan di dalam keadaan kedekut atau bakhil dan sangat sayangkan harta benda dan kekayaan yang dipunyai. Mesti diingat! Bahawa sikap bakhil lagi kedekut ini adalah sifat Mazmumah (keji), yang mesti dicabut dari setiap hati orang Islam dan mesti diganti dengan sifat Mahmudah (terpuji) iaitu satu sikap suka membantu saudara-saudara mereka seIslam yang di dalam kesusahan dan kesempitan. 

Pensyariatan sedekah ini dapat membina dalam diri individu sikap pemurah dan melahirkan satu masyarakat Islam yang prihatin dan bertanggungjawab.

Kesimpulan

“Yang menafkahkan hartanya (di jalan Allah) untuk membersihkannya”,

(al-Lail: 18)

Jadi, satu-satunya perkara yang boleh membersihkan diri setelah bertauhid dan bersolat adalah membelanja harta di jalan Allah. Oleh itu, membelanjakan harta di jalan Allah merupakan tanda kepada kebenaran iman.

Nabi S.A.W telah bersabda:

“Sedekah itu merupakan bukti (keimanan)”.

Hassan Al-Banna telah berkata:

“Hendaklah kamu menyumbangkan sebahagian daripada harta kamu kepada keperluan dakwah. Hendaklah kamu mengeluarkan zakat yang diwajibkan pada harta itu dan hendaklah kamu memperuntukkan sebahagian tertentu daripada hartamu itu untuk diberikan kepada orang-orang yang meminta dan orang-orang miskin, meskipun pendapatan kamu sedikit.”

Oleh itu, bersedekahlah wahai saudara-saudaraku, meskipun dalam jumlah yang sedikit, jika kamu tidak tergolong seorang yang memiliki harta banyak, sebab keberkahan terletak pada harta yang sedikit itu.

FARIDAH KAMARUDDIN
Kuantan – HARAKAHDAILY 6/11/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -