Aku budak pondok

KEHIDUPAN kami seadanya, tiada pondok bertaraf VIP walaupun yang datang belajar itu orang kaya sekalipun, tapi kebanyakannya bukan dari kalangan orang berada, tidak semua sanggup memilih tempat begini, mungkin tak sanggup nak melihat anak tinggal di pondok serba usang dan terpaksa uruskan diri sendiri, masak, basuh pakaian dan semuanya.

Saya merantau seorang diri, tiada keluarga yang mengiringi, kebanyakan pelajar yang datang diiringi keluarga, melihat suasana tempat tinggal kami, memang ada batalkan hasrat untuk belajar dan tinggal di pondok, ada pelajar baru yang menangis tak sanggup nak hidup dalam suasana begitu, bukan mudah, maklum, sekian lama hidup dalam jagaan keluarga, rumah yang selesa, nak menukar suasana kehidupan bukannya mudah.

Advertisement

Pesan guru-guru kami…:

“Bersyukur itu bukannya semata kerana kurniaan Allah yang banyak kepada kita, malahan walaupun sedikit, kerana kaya atau miskin semuanya adalah ketentuan Allah S.W.T, kerana hikmah itu berada di sebalik semua ketentuan Allah S.W.T, kaya ada hikmahnya, begitu juga miskin ada hikmahnya, sihat ada hikmah, malahan sakit pun ada hikmah, namun kebanyakan manusia hanya memandang natijah melalui pandangan mata sahaja, tetapi tidak menggali hikmah.”

“Emas dan bijih yang berharga tidak berada di permukaan bumi, tapi berada di dalam perut tanah yang kelihatan kotor, hanya tangan yang sanggup berlumuran kotor untuk menggalinya yang akan perolehi barang berharga di dalamnya, sebab itu bila kamu nak belajar di sini, jangan kamu pandang tempat tinggalnya, tapi kamu pandanglah apa yang kamu perolehinya di sini.”

“Balik nanti hiduplah bercerminkan agama, sentiasalah bersama dengan orang-orang yang soleh, antara tempat nak cari orang soleh ialah dalam Masjid, Surau, Majlis Ilmu, Jamaah Islam dan tempat berhimpunnya mereka, bergaullah dengan mereka, walaupun di tempat-tempat yang tidak indah pada pandangan mata, kerana di situ terhimpunnya keberkatan dalam kehidupan, yang akan mencukupkan kamu dengan nikmat kehidupan sama ada di dunia mahupun akhirat.”

“Berkat bukan datang dari sesuatu yang mewah, lazat dan berharga, tetapi datangnya dari yang halal dan diredhai, mencukupi bukan datangnya dari harta yang banyak, tetapi dari rasa syukur dan keberkatan yang melahirkan qanaah dari lubuk hati, berapa ramai orang yang memiliki tapi masih sibuk untuk mencari sehingga lalai dan masih meminta-minta, semua ini kerana jiwa yang sentiasa tidak berkecukupan, tiada keindahan dalam kehidupan.”

“Kesusahan akan mendidik jiwa kamu untuk bermujahadah, melawan kesusahan, cari kelebihan dan hikmah di sebaliknya, bila kamu telah dapat menggali dan mata hati kamu telah hikmahnya keberadaan kamu di sini, nescaya kamu pasti akan rasai betapa pondok-pondok yang usang dan buruk ini adalah suatu keindahan.”

USTAZ ROSLI ABDUL JABAR
Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang – HARAKAHDAILY 6/11/2020