Belanjawan 2021: KPM dapat peruntukan tertinggi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerima peruntukan terbesar iaitu RM50.4 bilion atau 15.6 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan kerajaan bagi 2021.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pendidikan ialah pelaburan yang paling penting dalam memastikan kualiti kehidupan yang lebih baik untuk generasi akan datang.

- Advertisement -

“Bagi memastikan murid-murid daripada keluarga berpendapatan rendah mendapatkan kandungan khasiat harian demi pertumbuhan fizikal dan mental yang menyeluruh, kerajaan akan menambah baik Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dengan penyediaan bekalan susu daripada dua kali seminggu kepada setiap hari persekolahan,” katanya semasa membentang Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Zafrul, peruntukan sebanyak RM420 juta akan disediakan dan sebahagian perolehan akan dikhaskan kepada pengeluar susu tempatan.

Selain itu katanya, kos tambahan sebanyak RM725 juta akan diperuntukan bagi menaik taraf bangunan serta infrastruktur di 50 buah sekolah-sekolah daif.

Kata beliau, bagi sekolah di luar bandar Sabah dan Sarawak, kerajaan akan melaksanakan 184 projek pembinaan dan pemasangan bekalan air telaga tiub baharu dengan kos keseluruhan projek berjumlah RM120 juta.

Katanya lagi kebajikan murid berkeperluan khas di sekolah turut diberi perhatian oleh kerajaan, maka bagi memperkasa pendidikan khas, RM45 juta akan disediakan untuk tujuan ini. – HARAKAHDAILY 6/11/2020

- Advertisement -