Belanjawan 2021 : Dua akta diluluskan tangani Covid-19

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan telah meluluskan dua akta penting bagi menangani wabak pandemik Covid-19 pada bulan Ogos lalu.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata strategi pertama itu merupakan perjuangan untuk memerangi pandemik Covid-19 dan melindungi kesihatan awam.

- Advertisement -

Menurutnya, antara Akta yang telah diluluskan ialah Akta Langkah-langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020.

“Akta ini memberi pengecualian atau relief kepada rakyat yang tidak mampu memenuhi obligasi kontraktual seperti pembayaran sewa akibat penularan wabak ini.

“Pada masa yang sama, pusat Mediasi Covid-19 juga ditubuhkan khusus untuk membantu kumpulan B40 dan M40 serta perusahaan mikro yang bertikai berhubung obligasi kontraktual,” katanya.

Manakala, Akta Langkah-langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019) pula telah membenarkan had statutori hutang kerajaan dinaikkan sementara sehingga 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) berbanding 55 peratus.

“Di bawah Akta ini, Parlimen telah meluluskan siling peruntukan RM45 bilion bagi Kumpulan Wang Covid-19,” katanya dalam pembentangan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Zafrul berkata, ketika Akta tersebut dibentangkan, terdapat cadangan daripada Ahli Dewan Rakyat supaya meningkatkan siling Kumpulan Wang Covid-19.

Sehubungan itu, ujarnya, mengambil kira gelombang wabak terkini dan keperluan sehingga tahun 2022, kerajaan bercadang mengemukakan pindaan Jadual Akta tersebut kepada Ahli Dewan Rakyat untuk menaikkan siling Kumpulan Wang Covid-19 sebanyak RM20 bilion kepada RM65 bilion.

Tujuan utama katanya adalah untuk membiayai pakej Kita Prihatin, bantuan tambahan bagi kesejahteraan rakyat, keperluan barisan hadapan dan perolehan vaksin kelak. – HARAKAHDAILY 6/11/2020

- Advertisement -