Yik terima peruntukan terbesar 2021

Maahad Tahfiz Sains di Kampung Berangan, Tumpat

KOTA BHARU: Yayasan Islam Kelantan (Yik) merupakan agensi kerajaan negeri yang menerima peruntukan terbesar daripada Belanjawan 2021.

Menteri Besar Kelantan, Dato’ Ahmad Yakob berkata, tahun depan merupakan fasa bagi pelaksanaan dasar Pendidikan Rabbani Kelantan.

Katanya, 10 sekolah perintis di bawah kelolaan Yik akan diterapkan kurikulum dan ko-kurikulum yang menepati terma dalam dasar tersebut.

Advertisement

“Sebanyak RM136 juta diperuntukan tahun depan dan daripada jumlah itu RM121 juta disedia kepada Yik bagi meneruskan agenda kecemerlangan akademik dan sahsiah pelajar.

“Ia menunjukkan peningkatan RM18.5 juta daripada tahun lalu bertujuan bagi membantuk Yik menampung perbelanjaan emolumen, manakala RM7 juta bagi menaik taraf skim guru,” katanya ketika membentang Belanjawan Kelantan 2021 pada persidangan Dun, hari ini.

Menteri Besar juga berkata, sebanyak RM4 juta diperuntukan bagi pembangunan serta penyelenggaraan sebanyak 90 sekolah Yik di seluruh Kelantan. – HARAKAHDAILY 5/11/2020