KWSP, moratorium: Menilai langkah terbaik

- Advertisement -


RATA-RATA pandangan atau cadangan yang dilontarkan terhadap Belanjawan kali ini menyentuh soal lanjutan moratorium dan kebenaran pengeluaran Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), tapi apa sebenarnya yang rakyat mahukan dan menjadi perbincangan umum?

Pengeluaran wang Akaun 1 KWSP

Hampir kesemua senarai cadangan yang diutarakan mempunyai dua permintaan ini, sehinggakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan kesetujuannya untuk mempertimbangkan perkara tersebut bersama Kementerian Kewangan (MoF).

Cadangan tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada pemegang akaun sendiri, antaranya ada yang berpendapat bahawa KWSP adalah jalan terakhir sebagai pendapatan mereka saat ini, malah ada juga yang berpendapat wang tersebut perlu disimpan pada usia senja.

Akaun 1 KWSP sememangnya bermotifkan simpanan untuk menjalani sisa-sisa umur di hari tua dan ia turut mendatangkan kebimbangan sekiranya pemegang akaun tidak mempunyai simpanan pada masa akan datang.

Tiada siapa boleh menebak masa hadapan, baik atau buruk. Kemungkinan ajal menjemput terlebih dahulu, kemungkinan juga usia berpanjangan sampai ke 80 tahun dan selebihnya.

Jadi, solusi terbaik ketika ini sekiranya kerajaan mahu merealisasikan perkara tersebut adalah dengan mengkaji sebaik mungkin mekanisma-mekanisma yang diperlukan untuk memastikan tindakan tersebut benar-benar memberi manfaat kepada pemegang akaun atau perkara sebaliknya akan berlaku.

Tentunya, salah satu cara terbaik adalah dengan memastikan wang tersebut dilepaskan secara bersasar berbanding secara lump sum.

Hal ini kerana, sekiranya cadangan tersebut diluluskan, pengeluaran wang dari Akaun 1 KWSP yang dilakukan secara serentak oleh pemegang akaun dikhuatiri dibelanjakan secara one-off dan akan berlaku perbelanjaan yang tidak mampan.

- Advertisement -

Lanjutan Moratorium

Lanjutan moratorium juga antara ‘hot topic‘ untuk Belanjawan 2021 walaupun peratusan individu yang mengambil moratorium berkurang sejak kali pertama ia diperkenalkan.

Ia tidak dinafikan sangat membantu rakyat yang mempunyai hutang dengan bank untuk meneruskan kehidupan. Namun, sesetengah faktor lain yang muncul menyebabkan ada golongan lain yang tercicir daripada menerima manfaat ini.

Ini kerana, terdapat isi rumah yang tidak memenuhi kelayakan untuk membuat pinjaman bank dan mereka juga tergolong dalam golongan B40 ke bawah. Malah, mereka juga antara kelompok yang kehilangan pekerjaan dan paling terkesan dengan pandemik Covid-19. Golongan ini tidak menerima manfaat daripada lanjutan moratorium.

Usaha kerajaan dalam perkara ini tidak dinafikan melegakan rakyat sehingga ramai yang menarik nafas lega daripada pengumuman pertama moratorium itu.

Mungkin ini masanya, lanjutan moratorium bersasar hanya diteruskan kepada mereka yang layak seperti Pengusaha Kecil Sederhana (PKS) dan sebagainya melalui nasihat-nasihat kewangan dari bank.

Cakna keperluan OKU

Isu pembangunan golongan orang kelainan upaya (OKU) dilihat remeh oleh sesetangah pihak, bagaimanapun, hakikatnya kelompok ini harus kerajaan beri perhatian.

Dalam satu kenyataan Pengerusi Sekretariat Prihatin OKU Malaysia, Mohd Faizal Che Yusof, beliau menekankan cadangan penubuhan Yayasan Pembangunan dan Pemerkasaan OKU Kebangsaan.

Katanya, penubuhan tersebut merupakan salah satu jalan keluar jangka sederhana yang boleh dimulakan kerajaan bagi menangani isu-isu pembangunan OKU yang selama ini bagai tiada penghujung.

Selain aspek kewangan dan penyususnan gerak kerja, kata Mohd Faizal, cabaran membangunkan OKU adalah tidak adil jika diserahkan kepada pihak berkuasa semata-mata.

Jelasnya, dalam merealisasikan hasrat tersebut, kebersamaan seluruh pihak termasuklah agensi-agensi berkuasa, GLC, sektor swasta dan keprihatinan masyarakat umum harus digembeling.

Jadi, penubuhan Yayasan Pembangunan dan Pemerkasaan OKU Kebangsaan diyakini merupakan langkah terbaik yang boleh dilaksanakan oleh pihak kerajaan.

Tambah beliau, penubuhan tersebut mampu membuka ruang dan peluang yang lebih terbuka bagi penyertaan OKU dalam proses membuat keputusan dan perancangan pembangunan OKU masa depan.

Anak muda mahu peluang pekerjaan

April tahun ini, Jabatan Statistik menerusi Survei Tenaga Buruh (STB) melaporkan sejumlah 778,800 orang mengganggur pada bulan tersebut dengan kenaikan 48.8 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Setiap tahun, jumlah graduan akan terus meningkat dan peluang pekerjaan tentunya lebih sengit.

Rata-rata mezahirkan rasa bimbang mengenai peluang pekerjaan dan berharap kerajaan dapat melakukan sesuatu bagi mengatasi masalah penggangguran ini dengan mencipta peluang-peluang pekerjaan yang tidak berlandaskan ‘modern slavery

Perniagaan atas talian jadi pilihan, namun capaian jalur lebar menjadi kekangan

Melihat kepada trend semasa, ramai yang mencuba nasib dengan memulakan perniagaan secara atas talian ataupun yang dilihat lebih menjimatkan kos tanpa perlu mengeluarkan modal untuk bayaran sewa tapak.

Namun, perkara tersebut tidak dapat digunapakai di sesetengah lokasi yang tidak mendapat capaian internet yang baik.

Capaian jalur lebar ini bukan sahaja berlaku di kawasan luar bandar, bahkan terdapat juga lokasi-lokasi di bandar yang mempunyai capaian internet yang tidak memberansangkan disebabkab faktor-faktor lain.

Bagaimana mahu menjual atas talian kalau internet pun slow? Maka, tidak keterlaluan untuk katakan pembangunan infrastuktur capaian jalur lebar harus diselesaikan secepat mungkin berbanding melaburkan kos kepada jalur lebar 5G.

‘Kami perlukan internet!’

Disebabkan masalah capaian internet ini juga menjadi punca ramai anak muda yang tinggal di luar bandar tidak menerima info atau maklumat mengenai bantuan-bantuan yang disediakan kerajaan kepada mereka.

Berdasarkan tinjauan penulis sendiri, masih ramai anak muda yang belum cakna mengenai bantuan-bantuan kerajaan untuk anak-anak muda seperti Geran Agropreneur Muda, ini memberi mesej bahawa mereka tidak didedahkan dengan peluang-peluang serta ruang-ruang yang disediakan kerajaan. Mereka tidak tahu!

Apatah lagi, pembelajaran atas talian menjadi solusi utama bagi pelajar-pelajar IPTA dan IPTS sejak daripada PKP dan PKPB.

Bagaimana pembelajaran atas talian dapat berjalan dengan lancar sekiranya capaian internet tidak memberansangkan?

Masalah capaian internet adalah perkara pertama yang perlu diselesaikan sekiranya kerajaan mahu norma baharu diteruskan dalam jangka yang lebih panjang selain mampu melahirkan lebih ramai usahawan digital. Mustahil usahawan digital dapat dilahirkan tanpa kelajuan internet yang baik.

Teruskan Prihatin, Prihatin PKS, Penjana, Kita Prihatin

Ada beberapa perkara yang kurang popular, namun tidak menjadi perbualan, iaitu bantuan Prihatin, Prihatin PKS, Penjana, Kita Prihatin, e-Wallet, serta internet percuma.

Selain itu juga, terdapat beberapa pihak yang bersetuju sekiranya elaun dan gaji Ahli-Ahli Parlimen dipotong untuk melihat sejauh mana mereka sanggup berkorban untuk rakyat. Nampak seperti keterlaluan, tetapi kenapa tidak?

Jangan lupa barisan hadapan

‘Our true heroes’ sepatutnya diberi insentif dan elaun khas demi memastikan hati dan jiwa mereka yang diserahkan sepenuhnya untuk menyelamatkan negara daripada terus dibelenggu Covid-19, kembali terubat setelah sekian lama berhempas pulas.

Mereka adalah nadi denyut negara yang menjadi benteng pertahanan ketika ini dan tidak pernah jemu untuk mengeluarkan Malaysia daripada belenggu Covid-19. – HARAKAHDAILY 5/11/2020

- Advertisement -