Dakwah: Antara kebenaran dan strategi

- Advertisement -

ADA perkara yg benar tapi diletakkan pada tempat yang salah. Di situ memerlukan kebijaksanaan pendakwah. Saya teringat, satu ketika saya bertemu Ust Yahya Othman (ketika itu beliau Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat). Saya serahkan draf buku saya berkaitan Kesesatan Syiah. Buku itu adalah terjemahan dari tulisan Ihsan Ilahi Zahir Bakistany. Saya nyatakan hasrat untuk cetak dan terbitkan buku itu. Selang satu minggu saya datang lagi bertemu beliau. Almarhum Ustaz Yahya Othman berkata:

“Buku ini ok… tapi pandangan ana tak sesuai diterbitkan, kerana buat masa sekarang isu Syiah ini belum serius sangat di negara kita. Nanti kalau kita besarkan isu ini semacam kita menumbuhkan minat orang untuk mengenali Syiah. Ana bimbang dalam ramai-ramai orang itu ada pula yang tertarik dengan Syiah. Asalnya mereka tak tahu apa-apa mengenai Syiah.” 

Saya diam… dan saya akur. Almarhum Ustaz Yahya telah mengajar saya sebuah method dakwah beza antara benar dan strategi. tidak semestinya setiap yang benar itu boleh dibuat. Dalam satu ketika yang lain Almarhum Ustaz Yahya bercerita kisah seorang pemuda yang alim Fiqh. Beliau telah datang mengajar ke sebuah masjid. Orang ramai sedang tunggu anak muda yang alim ini. Gembira orang kampung yang mula minat nak belajar agama.

- Advertisement -

Sampai sahaja di masjid… Ustaz muda ini mengambil wuduk. Orang ramai memerhati beliau. Sekurang-kurangnya boleh belajar sesuatu dari perbuatan wuduk Ustaz muda ini fikir mereka. Lalu Ustaz muda mula berwudhuk… Dibasuhnya tangan, kemudian disapunya kepala, basuh kaki dan kemudian muka. Tercengang orang kampung yang melihat. 

Seusai kuliah beberapa orang datang bertanya kepada Ustaz muda berkaitan wuduk beliau yang pelik itu. Lalu dengan bangganya beliau berkata saya berpegang kepada pendapat Saidina Ali yang mengatakan tertib tidak diwajibkan. Ada yang boleh terima penjelasan itu namun sebahagian besar sudah menganggap Ustaz muda itu sesat. 

Kuliah berikutnya tidak ramai lagi yang hadir ke majlis kuliah Ustaz muda itu. Kata Almarhum Ust Yahya:

“Akhi… Antara feqah dan seni adab itu perlu diseiringkan. Kalau tidak nanti kita akan jadi pendakwah dan ahli feqah yang suka berdebat dan sombong. Akhirnya yang menang ialah kita tapi tujuan dakwah dan perjuangan kita gagal.”

Saya kongsi kut-kut ada perkara yang anak-anak dan adik-adik Abnaaul Harakah boleh ambil iktibar seninya dakwah orang dulu-dulu.

USTAZ MOKHTAR SENIK
Ahli Jawatankuasa Kerja 
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 4/11/2020 

- Advertisement -