Gencatan politik, Belanjawan 2021 dan PRU ke-15

- Advertisement -

YANG di-Pertuan Agong telah bertitah bahawa tiada keperluan buat masa ini untuk mengisytiharkan darurat sebagaimana dicadangkan kerajaan untuk menangani pandemik COVID19 dalam negara. 

Tiada keperluan di sini memberi maksud ianya mungkin boleh dipertimbangkan di lain ketika kiranya keperluan lebih mendesak, apa pun yang penting Tuanku percaya bahawa kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berupaya untuk melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung wabak ini.

Malah dalam mempertahankan kerajaannya Baginda turut bertitah agar Ahli-ahli Parlimen tidak meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab menganggu-gugat kestabilan kerajaan. Dengan memberi fokus pada memerangi pandemik ini semua pihak perlu bersatu bersama langkah dan usaha kerajaan.

- Advertisement -

Pihak Istana Negara tidak pernah mengambil langkah proaktif mencampuri bidang eksekutif sebegini, tetapi dalam situasi semasa Yang di-Pertuan Agong terdesak demi menyelamatkan negara dan rakyat untuk keluar dari norma biasa dan memberikan peringatan agar tiada pihak mengambil kesempatan sehingga negara menjadi porak-peranda sedangkan pandemik yang ada terus membawa malapetaka.

Semua pihak tahu dan maklum bahawa Kerajaan Perikatan Nasional hari ini berdiri dengan majoriti yang sangat tipis. Kerajaan punya 113 Ahli Parlimen di belakangnya sedangkan pembangkang punya 108 (kerusi Batu Sapi kosong berikutan kematian wakilnya). Walaupun tipis namun ianya sah oleh kerana memiliki lebih suara dan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Walaupun ada desas-desus mengatakan terdapat pihak dalam kerajaan akan berkecuali atau tidak menyokong Belanjawan 2021 yang bakal dibentangkan di Parlimen 6 November ini, tetapi sehingga hari ini khabar angin itu sukar dipercayai malah mengambil semangat dari titah Yang di-Pertuan Agong beberapa Ahli Parlimen bukan kerajaan telah pun menyatakan akan memastikan Belanjawan ini disokong.

Oleh yang demikian tanpa gangguan menggagal atau menolak urusan kerajaan ini, pentadbiran Kerajaan PN dijangka dapat kekal memerintah dan sebagaimana dikehendaki Agong dan seluruh rakyat jelata, dapat memberi fokus terhadap memulihkan ekonomi negara dan melindungi rakyat dari wabak ini. 

Mengambil kira apa yang berada di hadapan kita ini, wajar sangatlah kiranya semua berjalan lancar, Belanjawan diluluskan dan dengan bantuan Allah S.W.T pandemik ini pula dapat dikawal, sebagaimana dicadangkan Majlis Tertinggi Umno, sudah sampai masanya Parlimen dibubarkan agar Pilihan Raya Umum ke-15 dapat dilakukan demi memberi mandat baru kepada kerajaan.

Realitinya kedudukan di Parlimen hari ini adalah berdasarkan kerusi-kerusi yang dimenangi dalam PRU ke-14 lalu. Ketika itu sebahagian besar rakyat termakan dengan janji-janji pilihan raya yang dibawa Pakatan Harapan (PH) sehingga membawa kepada kemenangan besar mereka.

Hari ini kerajaan itu telah roboh setelah memerintah sekadar 22 bulan. Kerana itu kerajaan baru yang dibentuk dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong ini agak rapuh kerana menyatukan parti-parti yang menentang PH selain yang tidak lagi bersama PH.

Hari ini suasana politik telah berubah, berdasarkan keputusan tujuh Pilihan Raya Kecil yang terakhir di Slim, Perak dan Pilihan Raya Negeri Sabah, rakyat sudah mengalih sokongan tidak lagi bersama PH tetapi kini menyokong Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).

Rata-rata dengan pembentukan kerjasama politik terbaru hari ini, iaitu MN, PN dan GRS serta GPS di Sarawak tidak mustahil kerusi-kerusi milik PH dapat dirampas kembali terutamanya kerusi-kerusi yang diwakili PAN, PKR dan beberapa kerusi DAP di kawasan campuran dan majoriti Melayu.

Oleh itu kaedah terbaik untuk keluar dari kemelut politik semasa ini adalah untuk membubarkan Parlimen dan menyerahkan kembali pada rakyat untuk membuat keputusan dan memberi mandat kepada kerajaan yang baru.

Kerusi-kerusi majoriti Melayu terutamanya yang kini diwakili PAN dan PKR dijangka dirampas oleh pakatan baru apabila berhadapan satu lawan satu menentang PH nanti. Begitu juga beberapa kerusi campuran sekali gus bakal terbentuk sebuah kerajaan baru yang lebih teguh dan kukuh berbanding yang ada pada hari ini yang mudah dikotak-katik dan diambil kesempatan oleh PH.

Antara kerusi-kerusi ini termasuklah Kangar, Jerlun, Kubang Pasu, Pokok Sena, Kuala Kedah, Merbok, Sg Petani, Padang Serai, Kulim Bandar Bharu, Parit Buntar, Tg Malim, Kapar, Hulu Selangor, Kuala Langat, Raub, Kuantan, Temerloh, Bentong, Titiwangsa, Tampin, Tangga Batu dan lain-lain.

Rakyat sudah menyatakan kesediaan mereka untuk mendukung pakatan baru dan menolak PH sebagaimana yang berlaku dalam beberapa PRK yang dimaksudkan serta terbaru dalam PRN Sabah. Lantas untuk memastikan rakyat kekal bersama pakatan baru ini dan mengekalkan terus PH di bangku pembangkang dengan bilangan kerusi yang tidak menggugat kerajaan maka parti-parti yang mendukungnya khususnya PAS, BN, BERSATU selain GRS dan GPS perlulah memuktamadkan persepakatan mereka.

Binalah kekuatan baru dengan mengambil kira sentimen semasa rakyat yang sudah muak dengan PH itu. Rakyat mahukan kerajaan yang stabil, yang mempunyai kekuatan untuk memacu jentera kerajaan sehingga memberikan mereka masa depan yang lebih meyakinkan.

Segala perselisihan dan perbalahan yang merintangi kelancaran pembinaan muafakat politik yang kukuh dan ditunggu-tunggu rakyat ini perlulah segera diselesaikan dengan jiwa yang besar dan politik yang matang.

Dalam suasana gencatan politik inilah pimpinan parti-parti yang terlibat perlu duduk berunding menyusun langkah dan strategi bagi membawa kemenangan besar yang bakal menyelamatkan masa depan negara, menghapuskan politik rasis dan Cauvinis serta agenda politik peribadi pihak-pihak tertentu.

Rakyat kini terbelenggu dan gelisah dengan ancaman pandemik COVID19 ini selain melihat Kerajaan PN yang sepatutnya membela mereka terdedah pula pada ancaman dan gangguan pihak pembangkang. Ketidaktentuan yang pelbagai ini perlu diurus dengan bijak dan baik.

Ini bermakna selain kita berdoa agar wabak ini segera dapat diatasi, marilah kita juga turut berdoa agar pakatan politik baru yang ditunggu-tunggu rakyat dapat dilancarkan dan diisytiharkan dan seterusnya apabila keadaan kembali terkawal PRU ke-15 segera diadakan demi masa depan yang lebih meyakinkan buat semua. Janganlah bertangguh lagi.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 4/11/2020

- Advertisement -