Tak wajar pertikai pemakaian baju Melayu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tidak sewajarnya pemakaian baju Melayu lengkap sebagai satu kesalahan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) kerana ia merupakan identiti pakaian kebangsaan yang merentasi bangsa dan bukan hanya pakaian adat bagi kaum Melayu sahaja.

Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor, Ustaz Hanafi Zulkapli berkata baju Melayu lengkap menjadi pakaian yang termasuk dalam justifikasi pakaian formal dalam majlis-majlis rasmi terutama yang melibatkan adat istiadat agama termasuklah dalam persidangan Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri.

Beliau menyifatkan tindakan Speaker Dun Selangor, Ng Suee Lim yang melarang pakaian baju Melayu lengkap terhadap ADUN pembangkang seakan anti kepada identiti kebangsaan.

- Advertisement -

“Sikap Speaker Dun Selangor seakan anti kepada identiti kebangsaan kerana tiada larangan dalam etika kod pemakaian malahan pemakaian baju Melayu lengkap di peringkat Parlimen juga tiada bermasalah selagimana menepati justifikasi pakaian formal yang ditetapkan.

“Jika dengan pemakaian baju Melayu lengkap menjadi isu dan dijadikan kesalahan yang sengaja dicipta oleh Speaker Dun Selangor, maka apa jaminan pula parti yang diwakili oleh beliau iaitu DAP mahu mempertahankan dan mempertabatkan kepentingan Islam dan Melayu di negeri ini dan begitu juga di peringkat Malaysia,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut Hanafi, sidang Dun Selangor sewajarnya menjadi fokus perbincangan dalam hal berkaitan kebajikan rakyat dan pembangunan kemajuan negeri.

Justeru, tidak wajar dalam persidangan yang berlangsung ini memperlihatkan sikap yang mempunyai agenda tersirat yang mahu mengenepikan identiti kebangsaan yang menjadikan sempitnya pemakaian baju Melayu lengkap hanya pada hari Jumaat sahaja.

Sedangkan katanya, etika kod pemakaian tidak pula mengehadkan tempoh pemakaiannya.

Isnin lalu, Ng telah menegur lima orang Adun pembangkang yang dikatakan tidak mematuhi kod pemakaian apabila memakai baju Melayu lengkap. – HARAKAHDAILY 4/11/2020

- Advertisement -