Amaran buat Presiden Perancis – Ustaz Dusuki

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua PAS Shah Alam, Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani memberi amaran kepada Presiden Perancis, Emmanuel Macron bahawa di atas nama kebebasan bersuara menghina Rasulullah SAW bakal menyebabkan kehancuran kepada negaranya.

“Apabila kamu menyiarkan dan membenarkan karikatur dilakukan dan dilukis di akhbar-akhbar atas nama yang disebut kebebasan, kamu telah memberi lesen untuk menjadikan kehancuran kepada negara kamu.

Advertisement

“Wahai tuan presiden kalau kamu inginkan keselamatan pada diri dan negara kamu, maka kamu perlu kembali kepada yang disebut dengan kedamaian beragama,” tegasnya.

Sementara itu, beliau turut menegaskan bahawa sejarah dunia telah mencatatkan individu yang menghina Islam, Rasul dan Nabi Muhammad SAW maka mereka akan hancur.

“Sekebal mana pun Rom, sehebat mana pun yang disebut dengan Parsi dan kukuhnya tembok yang disebut dengan Kota Konstantinopel itu berjaya dihancurkan dengan kekuatan ‘tiada tuhan melainkan Allah’ yang telah kami imani dan yakini dalam hidup. Kamu akan berhadapan dengan kekalahan,” katanya dalam satu ceramah secara atas talian ‘Bantahan terhadap penghinaan kepada Rasulullah SAW yang disiarkan secara langsung di Facebook pada Ahad lalu.

Di samping itu, beliau berkata Islam tidak memaksa setiap manusia untuk memeluk Islam tetapi memadailah menghormati setiap agama yang ada di kalangan umat manusia dan jangan menganggap agama Islam merupakan keganasan, pengganas dan seumpamanya.

Dalam pada itu, Ustaz Ahmad Dusuki menyeru umat Islam untuk sama-sama memboikot produk-produk yang dikeluarkan oleh Perancis pada saat ini.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada kerajaan Pakistan di antara negara contoh yang telah memboikot dengan membatalkan perjanjian pembelian senjata daripada Perancis.

“Serta beberapa negara Islam yang lain telah menunjukkan kebersamaan di kalangan umat Islam terhadap Rasulullah SAW,” katanya.

Turut menjadi panelis dalam program atas talian itu, pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus, Dr Zakir Naik, Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Pengerusi Gerakan Pembela UMMAH, Mohd Zai Mustafa, Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Dato’ Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, Yang Dipertua YADIM Ustaz Nasruddin Hassan, Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu dan ramai lagi.

Penampilan khas artis Altimet dan persembahan khas dari kumpulan nasyid UNIC. – HARAKAHDAILY 3/11/2020