Pemuda sepakat pertahan Kerajaan MN Pahang

- Advertisement -

KUANTAN: Pemuda PAS dan Pemuda Umno telah menegaskan tekad akan terus mempertahankan Kerajaan Muafakat Nasional (MN) Negeri Pahang pada PRU15 akan datang.

- Advertisement -

Perkara ini disepakati kedua-dua pihak dalam pertemuan muhibah julung kali Pemuda Muafakat Nasional Pahang di Pejabat Operasi Umno Pahang, di sini malam kelmarin.

Malah, Pemuda PAS dan Pemuda Umno juga berikrar mahu mengangkat negeri Pahang sebagai contoh Penyatuan Ummah dan kebajikan yang sebenar lagi subur kepada negeri-negeri lain.

Ketua Pemuda PAS Pahang, Ustaz Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin berkata, malah agenda dan semangat Penyatuan Ummah itu telah terlebih dahulu dibuktikan pada dua PRK di negeri ini.

“Penyatuan ummah bermula secara rasmi di PRK Cameron Highland yang menatijahahkan kemenangan besar buat calon Muafakat Nasional. Bermula dari situlah gelombang penyatuan ummah terus berkembang ke seluruh negara.

“Sehingga kini menjadi harapan rakyat Malaysia bagi memastikan situasi politik, sosial dan ekonomi negara ini menjadi lebih stabil.

“Maka kita wajib terus mempertahankan kerajaan Muafakat Nasional Negeri Pahang ini bagi terus menyuburkan momentum penyatuan ummah di negara ini,” ujar beliau yang juga ADUN Tahan.

Sementara itu Timbalan Ketua Pemuda PAS Pahang, Ustaz Airieroshairi Roslan berkata, kedua pihak juga telah mencapai kata sepakat untuk bersiap sedia melaksanakan program bersama di peringkat Negeri dan Kawasan.

Menurutnya perbincangan mengenai perkara itu pada malam Khamis lalu menjadi penanda aras bahawa Muafakat Nasional Pemuda Pahang sedia bergerak bersama di semua peringkat.

Hadir sama sewaktu pertemuan berkenaan adalah Ketua Pemuda Umno Pahang, Farid Mohd Nor serta semua kepimpinan tertinggi Pemuda kedua-dua parti.

“Kehadiran ahli mesyuarat juga yang amat memberangsangkan dan perbincangan itu turut berlangsung dalam suasana normal baharu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, Muafakat Nasional Pemuda Pahang menyambut baik saranan pelaksanaan penstrukturan Ahli Jawatankuasa gabungan itu dilakukan di peringkat Parlimen. – HARAKAHDAILY 31/10/2020

- Advertisement -