Guna kapal kargo seludup di tengah laut

- Advertisement -

PASIR PUTEH: Pasukan Polis Marin (PPM) Tok Bali berjaya merampas 19,000 karton rokok putih dan tiga bot pelancong bernilai RM3.950 juta malam tadi.

Ketua Bahagian Operasi Risik, PPM PDRM Wilayah Tiga, Pahang, DSP Azuhar Md Nor berkata, rampasan itu dilakukan di Tebing Sungai Pengkalan Ubi Keling, Kuala Besut, Terengganu, selepas membuat intipan empat jam di lokasi itu jam 10.30 malam.

- Advertisement -

“Bagaimanapun empat ke lima orang (pemandu dan pengiring) sempat melarikan diri dalam gelap setelah menyedari kehadiran anggota dan pegawai yang diketuai ASP Nik Ali Nik Mat ketika melakukan operasi Op Benteng Laut,” katanya pada sidang media di Markas Taktikal, PPM Wilayah Tiga Tok Bali, di sini, hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan bot pertama di Pulau Perhentian menjumpai 12,000 karton rokok berjenama Zon King, pemeriksaan ke atas bot kedua bercanvas hijau menjumpai sebanyak 4,000 karton dan pemeriksaan ke atas bot ketiga berwarna putih bergaris hijau menjumpai 3,000 karton.

“Selepas menunggu selama 30 minit di tempat kejadian tiada sesiapa yang menuntut kami membawa balik ketiga-tiga bot dan rokok berkenaan ke Markas Taktikal PPM Tok Bali untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata, pihak polis akan menjalankan siasatan di bawah Akta Kastam 1967 termasuk menyiasat pemilik bot terbabit berdasarkan nombor pendaftaran yang dicatatkan pada ketiga-tiga bot berkenaan.

Katanya, ini adalah kejayaan terbesar dilakukan tahun ini selepas rampasan pada 26 Oktober lepas yang dipercayai cuba menyeludup masuk dari negara jiran untuk dipasarkan dalam negara.

Beliau juga berkata, modus operandinya dipercayai dibawa oleh kapal kargo di tengah laut melalui perairan antarabangsa dan dimuat turun ke bot-bot di tengah laut untuk membawa masuk ke perairan Kelantan, Terengganu dan Pahang melalui kuala-kuala dan sungai-sungai di sepanjang pantai.

DSP Azuhar juga berkata, penyeludup sengaja menggunakan bot-bot pelancong untuk mengelirukan pihak berkuasa keselamatan.

“PPM Wilayah Tiga akan mempertingkatkan kawalan keselamatan di perairan dan persisir pantai melalui rondaan dengan kenderaan atau berjalan kaki,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/10/2020

- Advertisement -