Akhlak medium utama perbaiki masyarakat

- Advertisement -

TAMBUN: Maulidur Rasul bukan sesuatu yang sama seperti sambutan hari lahir anak cucu kita kerana ia membawa mesej yang amat besar buat umat sejagat mengenai tauhid kepada Allah, demikan kata Naib Ketua Ulamak PAS Tambun, Ustaz Nordin Ahmad Sidek.

- Advertisement -

Jelasnya, sambutan ini bukan sekadar memperingati sejarah kelahiran Nabi Muhammad S.A.W, tetapi ia merupakan susur galur satu perjalanan bermulanya jihad bagi menegakkan agama tauhid dan manusia yang berakhlak. 

“Rasullullah dilahirkan dalam suasana sekelilingnya penuh (dengan) kerosakan akhlak di luar norma kemanusiaan. Maka Allah jadikan batang tubuh Rasullullah sebagai contoh panduan untuk hidup berpandukan akhlak.

“Sesungguhnya pada diri Rasullullah itu satu contoh suri tauladan yang baik. (Maka) pendukung Islam mesti mengambil iktibar ini dengan menjadikan akhlak satu keutamaan dalam memperbaiki masyarakat madani,” ulas beliau yang juga Ketua PAS Zon Chemor.

Kupasnya, sejarah Islam telah membuktikan, akhlak dan peribadi mulia Rasulullah menjadi asbab para Sahabat beriman dengan Rasul meskipun dalam keadaan Al-Quran masih belum sempurna diturunkan oleh Allah S.W.T.

“Hari ini Al-Quran sudah sempurna lengkap di tangan kita. (Namun) tetap juga ada manusia tidak beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. (Konklusinya), akhlak memainkan peranan yang sangat penting sebagai dakwah utama bagi daei yang membawa agama,” ujarnya.

Dalam pada itu Ustaz Nordin juga berkata, meskipun Islam pada hari ini berhadapan dengan pelbagai ancaman, namun semangat meneruskan usaha dakwah dan perjuangan baginda Rasulullah S.A.W sentiasa subur dalam roh pejuang Islam.

Menyingkap hal itu pesannya, para pejuang Islam hendaklah sentiasa bersabar dengan mehnah dan tribulasi kini di samping terus berperanan membawa mesej Islam bukan sahaja kepada golongan bukan Islam, tapi juga rakan seagama yang masih tidak memahami erti Islam itu sendiri.

“Ketika Nabi mula-mula dilahirkan, semenjak itulah Nabi sentiasa di uji dalam perjuangannya. Begitulah (juga) kita hari ini. Rasulullah pernah bersabda, membawa Islam di akhir zaman ibarat menggenggam bara api. (Maka) kita perlu perkukuhkan keazaman untuk meneruskan perjuangan kekasih Allah ini,” serunya. – HARAKAHDAILY 31/10/2020

- Advertisement -