Penghinaan bukti kebencian dan sikap melampau

- Advertisement -

TEMERLOH: Penghinaan ke atas Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu bukan perkara baharu tetapi ia semakin ketara secara berleluasa dan berani terjadi bermula era pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Ketua Muslimat PAS Negeri Pahang, Ustazah Salamiah Mohd Noor berkata, ia menyerlahkan kebencian meluap-luap oleh pelaku, namun rakyat bertindak wajar membawa isu ini ke laporan pihak berkuasa.

Bidas beliau, penghinaan yang dibuat sememangnya amat melampau menggunakan lukisan, ucapan dan tulisan terutama di media sosial, selain dihadapkan juga dengan tuduhan, serta bercanggah Perlembagaan.

“Jangan lupa, dalam kontrak sosial salah satunya adalah semua kena menerima bahawa Ketua Negara adalah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu. Jangan terlupa juga kena menerima bahawa agama Islam adalah agama Persekutuan.

“(Juga) bahasa Melayu adalah sebagai bahasa Kebangsaaan. Dan juga kita ada keistimewaan untuk Bumiputera dan juga orang Melayu. Juga adanya digazetkan Tanah Rizab Melayu,” kemukanya memberi ‘peringatan kepada mereka yang lupa’.

Beliau yang juga Naib Ketua Muslimat PAS Malaysia berharap selain siasatan ke atas pelaku, mereka juga dikenakan tindakan hukuman berat agar tidak mengulangi dan menjadi pengajaran kepada orang lain.

“Sedar diri, supaya jangan dengan mudahnya mereka menimbulkan kebencian yang melampau-lampau kepada khususnya kepada Yang di-Pertuan Agong dan juga Raja-raja Melayu,” tegasnya memberi amaran.

Menyentuh mengenai isu penghinaan kepada Rasulullah S.A.W di peringkat antarabangsa, beliau turut menyatakan bahawa ia terjadi lantaran kebencian yang meluap terhadap Islam.

Tempelak beliau, pelaku mengulangi perbuatan sama melalui gambar atau lukisan karikatur secara kehinaan melampau dan memberikan pula pengiktirafan kepada pihak yang menimbulkan provokasi itu.

“Golongan ini sebenarnya mereka sampai kepada kemuncak nak tunjukkan bencinya kepada Islam. Mereka bukannya tak tahu sebenarnya Islam ini jalan yang benar, tapi kerana atas dasar benci yang melampau-lampau, mereka timbulkan berbagai tindakan.

“Dengan  lukisan, ucapan, tulisan untuk menimbulkan kemarahan kepada orang-orang Islam. Jadi kita serulah kepada mereka yang menimbulkan kebencian dan memusuhi Islam ini, kami sebagai orang Islam, kami tidak pernah menghina agama, pegangan yang lain.

“Kami sikap hormat kepercayaan orang lain. Jadi tolonglah janganlah sampai menimbulkan ketidaksabaran kami dengan tindakan-tindakan menghina Islam dan menghina Rasulullah S.A.W,” tegasnya.

Jelasnya, Islam tidak pernah menzalimi bangsa lain, bahkan membawa kesejahteraan dan mengajar penganutnya menghormati agama lain.

Beliau turut menyuarakan sokongan dibuat pelbagai negara dan umat Islam memboikot produk Perancis dan mengajak rakyat untuk memastikan mereka tidak membeli atau menggunakan produk negara itu. – HARAKAHDAILY 30/10/2020

- Advertisement -
- Advertisement -