Parti lama perlu disuntik semangat baru

- Advertisement -

KOMENTAR. Setelah tewas kepada Pakatan Harapan (PH) di peringkat persekutuan, Umno dalam keadaan terkejut mengambil masa agak lama untuk bangkit semula.

Sebelum ini ramai mengaitkan parti itu sebagai pemegang kuasa. Tidak lagi meneruskan prinsip dan idealisme perjuangan seperti peringkat awal parti itu ditubuh.

- Advertisement -

Ternyata selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, tongkat kuasa hilang daripada tangan mereka. Sedangkan sebelum ini mereka dianggap terlalu eksklusif dan memiliki segala-galanya.

Maka tidak hairan ada pihak menyebut ada pemimpin yang sibuk mengatur ‘pembangunan karier’ sehingga terlupa golongan marhaen. Namun tidak kurang ada pemimpin kelihatan ikhlas memulihkan parti.

Selepas 22 bulan bertatih semula Umno tiba-tiba mendapat nafas baharu. Kegagalan PH melahirkan kerajaan berintegriti dan berkebajikan memberi ruang kepada pihak lawan.

PH seperti tidak tahu mengurus sebuah kerajaan. Barisan kabinet mereka berentap sesama sendiri. Ada mulai mengintai harta benda duniawi sehingga mengaburi ikatan persahabatan antara mereka.

Bahkan manifesto yang berbentuk ‘aku janji’ kepada rakyat sanggup mereka ‘capatikan’.

Setiap hari rakyat digusarkan isu-isu sensitif berkaitan bangsa dan agama yang cuba diketengahkan PH kononnya sebagai cerminan ‘Malaysia Baru’.

PH gagal menguruskan hampir segalanya. Walaupun berada di bawah negarawan ulung dan pentadbir genius seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, sebaliknya rakyat sangat gundah dengan prestasi PH mengemudikan Putrajaya.

Pentadbiran PH yang merisaukan itu, akhirnya mempertautkan hubungan dua musuh politik tradisi iaitu Umno dan PAS.

Mereka mula merasakan gabungan dua parti majoriti Melayu-Islam boleh memberikan tekanan lebih berkesan kepada PH. Mereka berdamai dengan linangan air mata. Mereka menandatangani Piagam Muafakat Nasional (MN).

Kerjasama semakin erat dalam siri-siri pilihan raya kecil. Umno semakin mampu bernafas. Bahkan keyakinan diri sebahagian pemimpin Umno yang sudah lemah semangat kembali pulih. Mereka ada peluang untuk kembali bangkit.

Muafakat itu rupanya berkat. PH tidak lama selepas itu bergolak teruk kerana isu ‘peralihan kuasa’ daripada Dr Mahathir kepada Anwar Ibrahim.

Akhirnya Dr Mahathir meletakkan jawatan. PH tumbang di Putrajaya setelah berkuasa hanya selama 22 bulan.

Kemunculan PN

Drama politik menjadi lebih berselirat dan mendebarkan. Bersatu pula keluar daripada PH. Azmin Ali dan kawan-kawannya keluar daripada PKR. Ini membolehkan pembentukan kerajaan baru didukungi MN yang terdiri daripada Umno dan PAS serta GPS.

Nama Muhyiddin Yassin tiba-tiba diangkat sebagai calon Perdana Menteri yang baru. Nama neutral yang bersih, tidak terpalit skandal serta berpengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan negeri dan pusat.

Beliau berpengalaman juga menguruskan organisasi politik yang besar seperti Umno dan gabungan parti-parti seperti BN dan PH.

Barisan kabinet dibincangkan dan dipersetujui bersama pakatan baru tersebut sehingga muncul nama Perikatan Nasional (PN).

Kabinet Muhyiddin berperanan secara efisien sejak bulan pertama. Ia sangat efektif berbanding dengan kabinet PH selama 22 bulan. Ia adalah sebuah kerajaan yang berfungsi, walaupun kurang stabil kerana majoriti tipis.

Beberapa pemimpin Umno kembali menjadi menteri. Mereka pun begitu efektif dan membuahkan nama yang baik kepada Umno.

Namun di sebalik keharmonian itu tiba-tiba kedengaran ada pemimpin Umno mulai menukar rentak. Mereka mendesak ‘kuasa’ yang lebih banyak.

Berikutan itu terdengar pula ada yang membidik Anwar. Situasi itu agak mendebarkan. Namun itulah yang dinamakan politik.

Ia menjadi cabaran getir kepada kerajaan PN dan pimpinan Muhyiddin. Kemelut dalaman Umno itu semua sedia maklum. Menyesuaikan diri selepas lama memiliki kuasa sesuatu yang sukar.

Sebaliknya rakyat meletak harapan besar. Umno perlu dilihat benar-benar berubah daripada wajah lamanya. Umno juga tidak lagi boleh dilihat ‘arrogant’, sehingga tidak mampu menerima kritikan dan teguran. Tidak boleh lagi dilihat terlalu eksklusif.

PN menjadi bahtera baru yang belum kelihatan elemen menggusarkan. PN muncul sebagai penyelamat negara daripada ‘huru hara’ ketidakcekapan pentadbiran PH.

Rakyat tidak sanggup lagi menerima menteri kewangan era PH, menteri sawit era PH dan menteri agama era PH.

Rakyat tidak mahu lagi hari kemerdekaan yang tidak dapat dihayati maknanya. Rakyat tidak mahu lagi komunis dianggap ‘wira’ dan ‘pejuang’ negara.

Rakyat sungguh risau dengan ‘Malaysia Baru’ versi PH. Alhamdulillah dua malam lepas Umno mengulangi lagi kesetiaannya kepada kerajaan PN.

Jika Umno ingin kembali mendapat dukungan rakyat, mereka mesti sanggup berubah. Inilah masanya untuk memancing kembali sokongan rakyat.

ZAKARIA ISMAIL,
Seorang penulis bebas – HARAKAHDAILY 28/10/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -