Skim Perak Prihatin bantu penduduk Kubu Gajah

- Advertisement -

LARUT: Seramai 75 penduduk yang terpilih di DUN Kubu Gajah terpilih menerima manfaat Kad Perak Prihatin dengan jumlah RM80 sebulan dan RM 300 setahun yang diperuntukkan Kerajaan Negeri Perak untuk golongan layak dibantu.

- Advertisement -

ADUN Kubu Gajah, Ustaz Khalil Yahaya berkata, pemberian kad makanan dan kesihatan itu menyediakan bantuan kepada 17,000 penerima di negeri ini secara bersasar iaitu keluarga di bawah kategori B40 membabitkan peruntukan sebanyak RM22 juta.

Katanya, usaha ini bertepatan dengan kehendak Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu bahawa kemudahan ini adalah sejajar dengan komitmen kerajaan negeri untuk meningkatkan taraf hidup rakyat secara holistik, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada sumber bantuan.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penyerahan Kad Perak Prihatin bertempat di Pusat Khidmat ADUN Kubu Gajah, di sini, kelmarin.

“Para pemegang kad Perak Prihatin layak membeli barangan asas makanan bernilai RM80 sebulan di kedai-kedai runcit yang berdaftar. Selain itu, pemegang kad ini (juga) boleh mendapatkan rawatan kesihatan sehingga RM300 setahun di mana-mana klinik panel (yang) terpilih.

Alhamdulillah, penyerahan kad ini berjaya dilaksanakan dalam suatu majlis yang ringkas tapi cukup bermakna. Saya sendiri berpeluang memberikan taklimat kepada penerima. Saya percaya usaha ini dapat membantu serba sedikit urusan kehidupan seharian mereka,” jelasnya yang juga merupakan Timbalan Speaker Negeri Perak.

Sementara itu, seorang petani kampung yang dikenali sebagai Abdul Malik Hanafiah ketika ditemui berkata, pihaknya menzahirkan rasa syukur khususnya kepada Kerajaan Negeri Perak kerana membantu beliau melalui bantuan kemudahan yang diterima pihaknya itu. 

“Saya berasa sungguh bersyukur dan terhutang budi (dengan) YB Khalil dan Kerajaan Negeri Perak atas sumbangan yang begitu bermakna (ini). InsyaAllah saya akan gunakan bantuan (ini) sebaik mungkin dan bekerja lebih keras untuk membangunkan kehidupan,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/10/2020

- Advertisement -