Calon ADUN 18 tahun ruang belia berpolitik

IPOH: Usul belia berumur 18 tahun menjadi calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang diluluskan Sidang DUN Perak merupakan langkah yang proaktif politik negeri ini, demikian kata Pengarah Ameerah Negeri Perak, Haslina Khalid.

Advertisement

Jelasnya, melalui had umur itu, secara tidak langsung ia dapat membuka ruang kepada golongan belia untuk terus bergiat aktif dalam arena politik tanah air, sekali gus turut serta menyumbang buah fikiran sebagai pembuat dasar kerajaan.

Di samping itu, Haslina menerangkan, ia juga mampu memberi peluang besar dan faktor pendorong utama bagi memaksimumkan penyertaan belia dalam sistem demokrasi khususnya di negeri Perak ini.

“Sebagai sebuah entiti muslimat muda dalam Dewan Muslimat PAS, Ameerah Perak mengalu-alukan penyertaan (seluruh) wanita muda untuk turut sama menyumbang tenaga dan idea ke arah membangunkan Perak yang sejahtera.

“Marilah kita memainkan peranan sebagai anak muda untuk membuktikan bahawa penglibatan golongan muda bukanlah berdiri atas semangat semata-mata (malah) turut sama terbangun atas prinsip ilmu, akhlak, kefahaman dan penyertaan secara menyeluruh,” nasihatnya.

Dalam pada itu, beliau turut berharap agar dengan penurunan had umur kelayakan sebagai ADUN ini, dapat meningkatkan partisipasi anak muda seterusnya melahirkan anak Perak yang celik dan cakna urus tadbir negara.

RUU Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak (Bahagian Pertama) (Pindaan) 2020 untuk menurunkan had umur warganegara yang layak menjadi calon ADUN daripada 21 tahun kepada 18 tahun diluluskan semalam. – HARAKAHDAILY 28/10/2020