Limpahan manfaat dari naik taraf Hospital Miri

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rakyat akan memperolehi banyak manfaat dari usaha peningkatan infrastruktur fizikal dan digital Hospital Miri ke arah melengkapi rancangan untuk menjadikannya sebagai hab perubatan.

Setiausaha PAS Sarawak, Mohammad Arifiriazul Paijo berkata, inisiatif itu merupakan suatu pembangunan amat diperlukan rakyat terutama penduduk di bahagian Miri dan utara negeri ini.

“Tahniah kepada Kerajaan Negeri Sarawak atas usaha bagi menaiktaraf kompleks Hospital Miri. Perkembangan ini jelas sekali akan mengurangkan kesukaran bagi penduduk yang memerlukan rawatan pakar yang sebelum ini terpaksa dilakukan di Hospital Umum Sarawak.

“Kami turut ingin mencadangkan agar diwujudkan suatu makanisme sokongan daripada Hospital Umum Miri yang telah dinaik taraf kepada Hospital Bahagian Limbang yang terpisah oleh sempadan Brunei.

- Advertisement -

“Kerana menjadi kebiasaan rawatan lanjut pesakit dari Limbang-Lawas akan dihantar ke Hospital Umum Miri. Antara yang boleh diberi keutamaan ada naik taraf rangkaian teleperubatan antara dua hospital ini dengan aplikasi 5G,” ujarnya.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memaklumkan usaha tersebut semasa berucap pada majlis pecah tanah untuk projek bangunan tambahan Hospital Miri, semalam.

Beliau berkata, perkhidmatan perubatan Sarawak juga akan mendapat manfaat daripada pembangunan infrastruktur digital yang kini dilaksanakan Kerajaan Negeri Sarawak dengan peruntukan RM1 bilion.

Menurut beliau, projek bangunan tambahan hospital itu perlu bagi memenuhi keperluan penduduk yang semakin meningkat di wilayah utara Sarawak yang dijangka menjangkau 789,376 orang menjelang 2025.

“Hospital Miri sedia ada perlu dibaik pulih untuk mewujudkan lebih banyak ruang bagi peningkatan masa hadapan dari segi kapasiti katil, pakar perubatan, bilangan kakitangan dan perkhidmatan sokongan bagi memastikan perkhidmatannya sentiasa memenuhi keperluan penduduk di wilayah utara,” terangnya.

Menyentuh mengenai pembangunan infrastruktur fizikal katanya, rangkaian jalan raya di wilayah itu akan ditingkatkan yang akan menghubungkan tempat-tempat yang lebih kecil seperti di Marudi, Baram dan Bekenu dengan hab itu.

Maklum beliau, satu jalan raya baharu juga akan disiapkan menjelang 2025 untuk menghubungkan dua daerah utara Sarawak iaitu Limbang dan Lawas, yang akan memendekkan masa perjalanan ke bandar Miri.

“Oleh kerana Hospital (Miri) dikenal pasti untuk menjadi hab hospital bagi wilayah utara, jalan-jalan raya akan menjadi penghubung dan kami merancang untuk menghubungkan kawasan pedalaman hingga ke Mulu (taman negara Warisan Dunia UNESCO) pada Rancangan Malaysia ke-12.

“Pembangunan (perkhidmatan) perubatan juga telah berubah kini dengan pengenalan teleperubatan dan menerusi infrastruktur digital yang bagus, kita boleh menghubungkan hospital lebih kecil dengan hospital lebih besar (melalui saluran telekomunikasi), sekali gus meningkatkan perkhidmatan perubatan untuk masyarakat di pedalaman.

“Dengan tempoh masa perjalanan yang lebih pendek, (jalan raya baharu) ini semestinya akan membantu tugas membawa pesakit dari dua daerah berkenaan ke Hospital Miri,” katanya.

Beliau turut memuji usaha oleh Kementerian Kerja Raya untuk merancang bangunan tambahan hospital yang baharu bagi mencapai status bangunan hijau dan inisiatif ini sejajar dengan aspirasi kerajaan negeri untuk fokus kepada perlindungan alam sekitar.

Sementara Arifiriazul turut menambah bahawa beliau yakin inisiatif sedang diusahakan Kerajaan Negeri Sarawak itu pada masa sama juga mampu menyumbang untuk merancakkan aktiviti ekonomi dalam fasa pemulihan ini. – HARAKAHDAILY 28/10/2020

- Advertisement -