Harga CPO terus lonjak, pasaran makin luas

Bakal pasaran baharu ke Turki dan Balkan, selain Timur Tengah dan Afrika

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Harga minyak sawit mentah (CPO) Malaysia terus melonjak berada pada harga harian tertinggi sejak Februari 2017 apabila berada pada harga RM3,180 satu tan semalam.

- Advertisement -

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC), Muhtar Suhaili berkata, malah harga tersebut dijangka kekal mendaki dengan diunjurkan terus stabil.

Menurut beliau, peningkatan harga tersebut adalah disumbang oleh faktor permintaan minyak sawit yang terus bertambah khususnya daripada India dan China disamping inisiatif lain dilakukan negara.

“Tahniah kepada Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), YB Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali serta semua warga KPPK dan agensi berkaitan di atas usaha memastikan industri sawit terus kompeten dan berkembang.

“Ini tentunya berita baik buat semua pemain industri termasuk pekebun-pekebun kecil sawit di seluruh negara,” ujarnya berharap dengan pengenalan slogan “Sawit Anugerah Tuhan” juga akan mengembang majukan lagi industri tersebut.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat turut memaklumkan, KPPK terus melaksanakan usaha secara intensif untuk menembusi pasaran baharu yang semakin berkembang.

Berkongsi berita baik itu perinci beliau antara negara tersebut adalah Filipina, Vietnam dan Bangladesh selain sedia ada dengan India, China dan Pakistan pada ketika ini.

Optimis beliau disebalik cabaran pasaran dan ekonomi dunia yang terkesan dengan pandemik COVID-19, beliau juga yakin Malaysia tidak tergugat dengan tekanan berterusan Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat.

“Antara pasaran baharu yang juga akan dikembangkan ialah Turki dan negara-negara Balkan, selain Timur Tengah dan Afrika,” ujarnya memaklumkan luasnya pasaran cuba diteroka itu.

Semasa di bawah pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan, harga CPO hanya pernah mencapai harga tertinggi harian RM3,111 satu tan, namun berada dalam harga menurun sepanjang tahun 2018 dan 2019. – HARAKAHDAILY 28/10/2020

- Advertisement -