Ibrah Maulid ar-Rasul

- Advertisement -

NABI Muhammad S.A.W ialah seorang insan agung utusan Allah untuk sekalian alam. Sinar petunjuk yang telah disampaikan itu sudah berjaya menyelamatkan masyarakat Arab Jahiliyyah kepada cahaya Islam. Daripada memperhambakan manusia kepada memperhambakan diri kepada Allah tuhan manusia.

Daripada kezaliman pemerintahan kepada keadilan Islam. Sememangnya manusia sangat berhajat kepada pimpinan Rasul sebagai model terbaik. Petunjuk sepanjang zaman untuk keselamatan hidup di dunia dan akhirat.

Petunjuk yang mengandungi akidah, ibadah, akhlak dan seluruh aspek kehidupan manusia. Petunjuk yang mengandungi undang-undang asasi sebagai cara hidup Islam yang disebut sebagai ad-Deen, satu kerangka besar yang menyeluruh merentasi kerangka agama yang hanya berkisar soal ibadat, rumah ibadat, perkahwinan dan kematian sahaja. 

- Advertisement -

Betapa gersangnya manusia kini, walaupun maju di sudut kebendaan dan teknologinya tetapi ketinggalan sangat jauh dari sudut rohani dan akhlaknya. Cukup primitif memunculkan rupa serba gila dan rosak jiwanya. 

Barat yang mendewakan tamadun kebendaan dan teknologinya sangat berbangga dengan pencapaiannya. Mereka merasa mulia, sebaliknya mereka terperangkap dalam hidup cacamarba kontra jiwa dalam melaung-laungkan konsep ‘hak kebebasan manusia’. 

Barat hari ini, dalam situasi pandemik COVID-19 hilang arah untuk mengawal rakyatnya supaya mematuhi SOP. Atas nama ‘hak asasi manusia’ mereka mengabaikan arahan. Akibatnya mereka dilanda dengan wabak ini dengan dahsyatnya.

Begitulah juga pemuja ‘hak asasi manusia’ di negara kita yang penuh gila memperjuangkan hak mereka yang songsang semuanya. Kembalilah mengikut petunjuk Allah yang telah disampaikan oleh Nabi Muhammad S.A.W nescaya kita akan selamat di dunia dan akhirat. 

Tanda cintanya kita kepada Baginda, marilah kita memperbanyakkan berselawat, mengamalkan ajarannya dan memperjuangkannya supaya petunjuknya iaitu Islam terlaksana di atas muka bumi Allah ini.

Salam Maulidur Rasul 1442H buat semua umat Islam di seluruh Malaysia.

USTAZ MUHAMMAD FAUZI YUSOFF
Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang merangkap YDP PAS Kawasan Balik Pulau – HARAKAHDAILY 28/10/2020

- Advertisement -