Sokong titah Agong, bersama tangani COVID-19

DEWAN Pemuda PAS Malaysia mendukung penuh kenyataan PAS Pusat menjunjung kasih terhadap Yang di-Pertuan Agong atas kepercayaan penuh kepada kerajaan dalam menghadapi wabak COVID-19, serta menyatakan sokongan penuh kepada kepimpinan YAB Perdana Menteri.

Pemuda PAS juga mendesak supaya tema memperkasakan Muafakat Nasional dan mempertahankan Kerajaan Perikatan Nasional diusaha secara bersama dan bersedia merealisasikan perjanjian penyertaan BERSATU di dalam Muafakat Nasional yang telah dipersetujui dan ditandatangani oleh Presiden PAS dan Umno.

Pada masa yang sama, Pemuda PAS mencadangkan supaya semua pihak dapat menghentikan politiking serta bersama kerajaan dalam memerangi wabak ini tanpa mengira fahaman politik. Teguran keras kepada parti pembangkang, PKR, DAP dan sekutu rapatnya PAN untuk segera bangun daripada mimpi yang dunia kini begitu mendesak kepada simpati pemimpin dalam mendepani krisis COVID-19, bukan peluang untuk melanggar keharmonian yang dibina dengan baik oleh Kerajaan PN.

Advertisement

Kesempatan ini juga kami mencadangkan supaya kerajaan mempergiatkan usaha membantu rakyat melalui pakej-pakej PRIHATIN dalam Belanjawan 2021. Pemuda PAS juga mencadangkan supaya kerajaan melanjutkan tempoh moratorium pinjaman bank, serta melanjutkan tempoh penangguhan bayaran PTPTN kepada graduan. Ini dapat membantu rakyat dalam meneruskan kehidupan yang penuh mencabar ini.

Marilah kita seluruh rakyat Malaysia berdoa serta memohon perlindungan berterusan daripada Tuhan supaya dihapuskan wabak COVID-19 dengan segera dan negara kita kembali selamat, aman dan bersatu-padu.

IR. TS. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 28/10/2020