Rokok seludup bernilai RM3 juta dirampas

- Advertisement -

PASIR PUTEH: Sejumlah 19,600 karton rokok putih pelbagai jenama yang dipercayai cuba diseludup bernilai lebih RM3 juta dirampas di Hutan Bakau, Sungai Bukit Keluang Besut awal pagi tadi.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga yang berpangkalan di Kuantan ACP Norzaid Muhammad Said berkata, nilaian rampasan itu termasuk cukai kastam dan dua lori yang digunakan bagi menjalankan aktiviti tersebut.

- Advertisement -

Bagaimanapun katanya pemandu dan kelindan kedua-dua lori berkenaan berjaya melarikan diri ke dalam hutan selepas menyedari kehadiran anggota pasukan keselamatan.

“Rokok berkenaan dibungkus dalam plastik hitam berjumlah sebanyak 19,600 karton dipercayai diseludup dari negara jiran untuk dipasarkan dalam negara terutama di negeri utara dan selatan.

“Rokok-rokok itu mengandungi tiga jenama iaitu jenis NYX Hijau sebanyak 5,100 karton, NYX Merah (4,250 karton) dan John 17G (10,250 karton) yang mendapat permintaan tinggi di negeri terbabit,” katanya pada sidang media di Markas Taktikal PPM Wilayah Tiga Tok Bali di sini hari ini.

Turut hadir Pegawai Pemerintah PPM Tok Bali, ASP Nik Ali Nik Mat.

Menurutnya juga pihak polis menyerbu di lokasi berkenaan sebaik mendapat maklumat daripada orang ramai. – HARAKAHDAILY 26/10/2020

- Advertisement -