Menteri kagum rakyat Kedah patuhi SOP

PENDANG: Ucapan penghargaan Menteri Kesihatan Malaysia Dato’ Seri Dr Adham Baba berikutan rakyat Kedah mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) turut mendapat perhatian kerajaan Kedah.

Exco Kesihatan dan Pihak Berkuasa Tempatan Dato’ Dr Mohd Hayati Othman berkata, ucapan berkenaan hasil kejayaan semua pihak menangani wabak Covid di Kedah.

Advertisement

“Ia bukan sahaja kejayaan hasil usaha kerajaan tetapi juga Jabatan Kesihatan dan petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus menghadapi suasana getir Covid-19 sebelum ini.

“Di Kedah kita dilanda dengan pelbagai kluster Covid-19. Dari asal zon hijau bertukar ke merah di Daerah Kota Setar kini kembali hijau,” katanya di sini.

Pada hantaran di media sosial Dr Adham merakam tahniah kepada rakyat Kedah kerana patuh SOP dengan amalkan 3W dan elak 3S sehingga nilai R Naught turun di bawah 1 iaitu 0.7 sekarang.

Dr Mohd Hayati juga berkata, kejayaan itu berkait rapat dengan komitmen dan kerjasama semua agensi kerajaan dan petugas barisan hadapan. – HARAKAHDAILY 26/10/2020