Pembangkang usah desak PM letak jawatan

Penganalisi Politik
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Al-Sultan Abdullah Ria’yatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerusi satu kenyataan media Istana Negara semalam mengandungi undi percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pensyarah Kanan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, pemimpin parti pembangkang tidak seharusnya menggunakan kuasa yang ada pada YDPA untuk mendesak Perdana Menteri meletakkan jawatan.

- Advertisement -

“Jika kita amati dan teliti dengan baik, titah YDPA itu sebenarnya mengandungi undi percaya kepada Perdana Menteri, ini yang lebih penting.

“Sebenarnya penolakan darurat itu tidaklah begitu penting kerana Baginda yakin dengan kepimpinan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam mengurus tadbir negara dengan baik dan cekap dalam mengatasi penularan Covid-19,” ujarnya ketika dihubungi HarakahDaily, hari ini.

Dalam pada itu katanya, YDPA juga mahukan supaya kerajaan tidak diganggu-gugat, jika parti pembangkang terus mempertikaikan kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin ataupun Kerajaan PN maka ini sudah pasti bercanggah dengan titah YDPA.

“Akurlah dengan titah YDPA dan tidak lagi menimbulkan pelbagai isu bagi mengganggu kestabilan kerajaan sedia ada dan bekerjasamalah bagi menangani pandemik tersebut,” katanya lagi.

Sementara itu katanya, YDPA juga mahukan supaya semua pihak dapat menyokong dan meluluskan Belanjawan Negara 2021 dalam menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara yang akan dibentangkan pada 6 November ini.- HARAKAHDAILY 26/10/2020

- Advertisement -