PAS bantu penduduk bukan-Islam terkesan COVID-19

- Advertisement -

SANDAKAN: Susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan di negeri ini, PAS Kawasan Sandakan telah mengambil inisiatif dengan membantu penduduk terjejas di beberapa lokasi dalam daerah ini semalam.

- Advertisement -

Antara golongan yang dibantu termasuklah penduduk bukan-Islam dari kaum Kadazan, Dusun dan Tiong Hua yang turut terkesan ekoran pandemik COVID-19 dengan pemberian sumbangan barang dapur.

Sumbangan tersebut turut melibatkan kira-kira 300 keluarga di beberapa lokasi seperti Sri Taman, Kampung Forest, Taman Mesra, Bandar Sandakan, Taman Kam Jai Yen, Jalan Singapura, Jalan Cecily dan Taman Mawar, di sini.

Hadir menyerahkan sumbangan ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sabah, Sahar Abdul Majid dan Ketua Penerangan Pemuda PAS Sabah, Mustaman Mustain serta Ketua Pemuda PAS Sandakan, Ramlan Pandi dan lain-lain.

Sahar yang juga Yang DiPertua PAS Sandakan berkata, perjuangan parti Islam ini melangkaui sempadan agama dan kaum, oleh itu pihaknya tampil menyumbang kepada rakyat yang terjejas tanpa mengira latar belakang.

Menurutnya lagi, sumbangan tersebut merupakan inisiatif daripada PAS Sandakan untuk membantu mereka yang terjejas dan hilang pendapatan akibat penguatkuasaan PKPB.

Selain itu beliau juga mengingatkan agar rakyat kekal tenang dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan bagi membendung wabak tersebut.

Dalam kesempatan itu, Sahar juga merakamkan ucapan penghargaan kepada para dermawan yang telah menyumbang bagi menjayakan program kebajikan tersebut.

“Ribuan terima kasih diucapkan kepada semua penyumbang yang menghulurkan wang ringgit bagi menjayakan misi ini untuk kelangsungan hidup warga Sandakan,” katanya.

Para dermawan juga diseru membantu dengan menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam Dewan Pemuda PAS Kawasan Sandakan 10043010001846 sekiranya berhajat untuk menyumbang.

Jelas Sahar lagi, PAS Sandakan akan sentiasa komited membantu penduduk sedaya upaya khususnya di daerah ini berdasarkan dana yang mereka miliki. – HARAKAHDAILY 26/10/2020

- Advertisement -