Darurat ditolak tetapi PM diiktiraf

- Advertisement -

WAJARKAH Tan Sri Muhyiddin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri (PM) berikutan titah YDP Agong yang menolak cadangan Kabinet untuk mengisytiharkan darurat semalam?

Sekurang-kurangnya itulah kemahuan dan kehendak puak-puak yang melukut di tepi gantang, akan tetapi bagi yang bijak membaca dan faham situasi dan tidak tergiur bermain politik sepanjang masa akan berfikiran sebaliknya.

Akhbar NST Singapura membawa tajuk: ‘Malaysia’s PM Muhyiddin loses emergency bid but wins royal endorsement’ataupun ‘PM Malaysia gagal mendapat pengisytiharan Darurat tetapi menerima pengiktirafan di Raja’ manakala akhbar Berita Harian membawa tajuk ‘Tak perlu darurat, hentikan tindakan ganggu kestabilan kerajaan’.

- Advertisement -

Jelas isu yang di hadapan kita kini adalah bagaimana negara menghadapi pandemik COVID-19. Setakat semalam negara mencatatkan jumlah kes keseluruhan sebanyak 26,565 kes dengan 229 kematian. Keprihatinan kerajaan dan juga Raja-raja Melayu sesungguhnya adalah terhadap ancaman ini bagaimana memeranginya, manakala tokoh-tokoh politik murahan cuma memikirkan bagaimana mahu curi kesempatan dan naik kembali merampas kuasa.

Kerana itu YDP Agong dalam titahnya yang disampaikan melalui Dato Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara menyebut:

“Al-Sultan Abdullah berpendapat tiada keperluan buat masa ini untuk Seri Paduka mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian Negara Malaysia.”

Alasannya kerana:

“Al-Sultan Abdullah merasakan kerajaan sekarang telah berjaya menangani wabak ini dengan baik dan berkesan.”

Dan untuk memastikan urusan kerajaan khususnya dalam menangani pandemik ini berjalan lancar Tuanku bertitah dalam kenyataan yang sama:

“Kendatipun begitu, Seri Paduka ingin mengingatkan ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala politiking yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara. Al-Sultan Abdullah turut berpendapat bahawa tiada perlunya Ahli-ahli Parlimen meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mengganggu gugat kestabilan kerajaan sedia ada.”

Ini bermakna penolakan itu bukan bermaksud YDP Agong murka terhadap cadangan kerajaan. Cuma pada hemat Tuanku, ianya belum sampai ke peringkat keperluan yang mendadak. Tuanku dan Raja-raja Melayu yang lain berpuas-hati malah yakin dengan keupayaan Kerajaan Muhyiddin untuk menangani pandemik ini. 

Dan untuk memastikan semua urusan kerajaan berjalan lancar Tuanku turut menitahkan agar semua pihak mengenepikan segala perbezaan dan perbalahan untuk bersatu padu dan bersatu hati memainkan peranan masing-masing dalam membantu Kerajaan dan pihak-pihak berkuasa membendung wabak COVID-19 demi keselamatan diri dan kesejahteraan negara.

Kesimpulannya Institusi Raja-raja Melayu yang diketuai Yang di-Pertuan Agong kekal yakin dan mengiktiraf Muhyiddin sebagai PM Malaysia walaupun menolak cadangan darurat. Ianya satu pengiktirafan yang tinggi dan pihak Istana turut menitah agar rakyat terutama ahli-ahli politik pun jangan mengambil kesempatan tetapi memudahkan urusan kerajaan ini agar bahana yang sedang menimpa negara dapat bersama-sama di atasi.

Daulat Tuanku dan syabas kerajaan serta PM Malaysia.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 26/10/2020

- Advertisement -