Sasar bina DSK 10,000 km menjelang 2030

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menyasarkan pembinaan Denai Sungai Kebangsaan (DSK) sepanjang 1,000 kilometer (km) pada 2023 dan 10,000 km menjelang 2030.

- Advertisement -

Menterinya Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pembinaan itu merupakan strategi tindakan pencegahan pencemaran melalui pendekatan kawalan di punca penyelesaian secara ‘nature-based‘.

Beliau berkata KASA dengan kerjasama setiap kerajaan negeri akan mengenal pasti beberapa kawasan rizab sungai untuk dibangunkan sebagai lokasi rekreasi melalui pembinaan denai dan aktiviti pengindahan sungai.

“Sekiranya denai dibangunkan di tepi sungai, ia bakal menggalakkan aktiviti seperti berkelah, memancing dan berbasikal dalam kalangan komuniti setempat. Kehadiran orang ramai di kawasan tersebut turut akan menghalang pihak yang tidak bertanggungjawab menjadikan sungai sebagai tempat pembuangan sisa.

“Di samping itu, DSK ini juga berpotensi untuk menyumbang kepada ekopelancongan setempat,” katanya menerusi satu kenyataan kelmarin.

Menurut kenyataan itu, Tuan Ibrahim telah merasmikan Denai Sungai Pengkalan Datu, di Kubang Kerian, dekat sini kelmarin, yang merupakan antara projek rintis DSK itu serta bersempena sambutan Hari Alam Sekitar Negara dan Hari Sungai Sedunia Tahun 2020.

Denai di sungai berkenaan dibina sepanjang hampir satu kilometer yang bermula di kawasan belakang Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dan melalui sekitar kawasan hutan bakau berdekatan sebuah inap desa iaitu Min House Camp. – BERNAMA

- Advertisement -