Tragedi saluran paip gas asli meletup

BANGKOK, Thailand: Tiga orang terbunuh manakala 52 orang cedera selepas sebuah saluran paip gas asli meletup di Samut Prakan, tenggara Bangkok, semalam.

Advertisement

Dalam  keajdian jam 12:55 tengah hari (waktu tempatan), saluran paip asli itu yang dikendalikan oleh syarikat milik PTT Public Company Limited (PTT) mengalami kebocoran dan terbakar.

Menurut laporan Bangkok Post, susulan letupan itu, sekurang-kurangnya empat buah rumah rosak teruk dan enam buah rumah mengalami kerosakan bumbung.

Gabenor Wilayah Samut Prakan, Wanchai Kongkasem, berkata sekurangnya 30 buah keluarga terjejas akibat insiden itu dan pihak berkuasa sedang mengenal pasti punca kejadian letupan itu.

“Mangsa mengalami kecederaan melecur dan dikejarkan ke hospital berdekatan dan pusat pemindahan telah dibuka untuk membantu mangsa,” katanya kepada media selepas melawat lokasi kejadian.

Beliau berkata PTT telah menutup saluran paip itu dan kawasan itu kini selamat.

Sementara itu, jurucakap kerajaan, Anucha Burapachaisri berkata Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha telah mengarahkan pihak berkuasa segera melakukan pemeriksaan dan menyiasat punca kejadian serta menghulurkan bantuan kepada mangsa. – BERNAMA