Iran, Rusia didakwa pengaruhi Pilihan Raya Presiden

- Advertisement -

WASHINGTON, Amerika Syarikat: Rusia dan Iran didakwa berusaha untuk mempengaruhi Pilihan Raya Presiden 3 November nanti dan menuduh pihak berkenaan cuba mengirim “e-mel olok-olok” untuk memburukkan Presiden Donald Trump, lapor Agensi Anadolu.

- Advertisement -

“Kami ingin beri tahu orang ramai kami telah kenal pasti dua dalang asing, Iran dan Rusia, cuba bertindak mempengaruhi pendapat awam terhadap pilihan raya,” kata Pengarah Perisikan Negara John Ratcliffe dalam satu taklimat. Taklimat itu turut dihadiri Pengarah FBI Christopher Wray.

Menurut Ratcliffe, Rusia dan Iran secara berasingan mendapatkan maklumat beberapa pengundi yang didakwa digunakan untuk menyampaikan maklumat palsu kepada pengundi di samping mahu “menimbulkan kekeliruan dan melemahkan keyakinan anda terhadap demokrasi Amerika.”

“Kami dapati Iran ada mengirim e-mel bertujuan menakut-nakutkan pengundi, menimbulkan rusuhan sosial dan mencemarkan nama Presiden Trump,” katanya. 

“Anda mungkin pernah melihat beberapa laporan mengenai hal ini dalam tempoh 24 jam lalu atau anda mungkin pernah menjadi satu daripada penerima e-mel itu.”

Beliau juga menuduh Iran cuba menyebarkan video serta beberapa kandungan lain yang boleh mempengaruhi pengundi.

Sementara itu, Wray berkata kerjasama dengan sektor swasta dan infrastruktur pilihan raya AS sangat kukuh untuk mengekang sebarang gangguan.

“Kami tidak akan bertolak ansur dengan campur tangan asing dalam pilihan raya kami atau kegiatan jenayah yang boleh mengancam hak mengundi atau menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap keputusan pilihan raya,” tambahnya. – BERNAMA

- Advertisement -