Parlimen tidak tergantung hanya dengan proklamasi darurat

PARLIMEN tidak boleh digantung dengan hanya proklamasi darurat. Ini kerana Perkara 150 (2B) membenarkan Parlimen bersidang dalam tempoh darurat. Contoh yang lebih mudah ialah pengalaman semasa proklamasi darurat 1969.

Advertisement

Dalam tahun itu, Parlimen dibubarkan pada 10 Mac untuk membolehkan Pilihan Raya Umum (PRU) dilaksanakan pada 10 Mei 1969. Setelah keputusan PRU diumumkan, Perikatan gagal mengekalkan dua pertiga jumlah kerusi Parlimen.

Susulan daripada itu, pihak pembangkang dikatakan mencetuskan provokasi sehingga terjadi rusuhan pada 13 Mei 1969. Akibatnya, Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ketika itu membuat proklamasi darurat pada 15 Mei 1969. Di Sabah dan Sarawak, PRU terpaksa ditangguhkan sehingga hanya selesai pada 4 Julai 1969. Proklamasi darurat itu hanya dibatalkan pada 20 Disember 2011, lebih kurang 40 tahun selepas itu.

Oleh kerana berlaku darurat, Agong (YDPA) berkuasa membuat ordinan darurat untuk mengawal ketenteraman awam di Persekutuan. Parlimen yang sepatutnya bersidang semula dalam tempoh 120 hari dari tarikh pembubarannya terpaksa ditangguhkan. Parlimen hanya bersidang semula pada 20 Februari 1971, iaitu hampir dua tahun dari tarikh pembubarannya setelah dipanggil oleh Agong atas nasihat Perdana Menteri (PM).

Apa yang berlaku, apabila diisytiharkan darurat pada 15 Mei 1969, Parlimen sudah dibubarkan untuk membolehkan PRU dijalankan. Selepas Parlimen mula bersidang pada 20 Februari 1971, darurat masih berkuatkuasa. Apabila PRU dibuat dalam tahun 1974, proklamasi darurat masih belum dibatalkan. Itu menunjukkan meskipun darurat, Parlimen masih boleh berjalan mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 150 (3) memperuntukkan proklamasi darurat dan sebarang ordinan yang dibuat di bawah Fasal (2B) hendaklah dibentangkan di kedua-dua Dewan Parlimen dan, melainkan dibatalkan lebih awal, hendaklah terhenti kuatkuasa jika resolusi-resolusi itu diluluskan oleh kedua-dua Dewan membatalkan suatu Proklamasi atau Ordinan itu. Tanpa memprejudiskan apa jua yang telah dilakukan susulan daripada itu atau kuasa Agong untuk membuat proklamasi baharu di bawah Fasal (1) atau memasyhurkan sebarang ordinan di bawah Fasal (2B).

Perkara 150 (2B) membenarkan ketika darurat masih beroperasi, Agong (YDPA) memasyhurkan suatu ordinan seperti yang baginda fikirkan perlu, tertakluk pada dua keadaan, iaitu: Pertama, Kedua-dua Dewan Parlimen tidak boleh bersidang serentak, dan Kedua, Agong berpuashati bahawa wujud keadaan-keadaan yang memerlukan baginda mengambil tindakan segera.

Justeru, untuk membolehkan Parlimen digantung, pembubaranya perlu dibuat lebih awal daripada proklamasi darurat.

Dalam keadaan darurat seperti di atas, Agong boleh memperkenankan Jemaah Menteri sebelum Parlimen terbubar untuk meneruskan fungsinya secara Interim bersifat ‘care taker’ di bawah Perkara 43 (2).

Selain itu, baginda mempunyai prerogatif untuk merundingi Majlis Raja-Raja atau mendapatkan pandangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membuat ordinan yang perlu. Agong mempunyai tanggungjawab untuk memastikan pengurusan pentadbiran negara berjalan dengan baik sehinggalah PRU dibuat bagi menangani ancaman besar yang berlaku itu.

Justeru, rakyat tidak perlu panik jika Parlimen dibubar dan darurat diisytiharkan. Misalnya dalam tempoh 15 Mei 1969 hingga 20 Februari 1971, pelbagai ordinan dan lahirnya polisi-polisi yang memberi kesejahteraan kepada rakyat, antaranya;

1. Ordinan (Kuasa-Kuasa Khas) Darurat No. 2, 1969.
2. Ordinan (Ketenteraman Awam dan Pencegah Jenayah) Darurat No. 5, 1969.
3. Peraturan-Peraturan Perlu (Majlis-Majlis Muhibbah) 1969.
4. Dasar Ekonomi Baru, 1970.
5. Universiti Kebabgsaan Malaysia, 1970.
6. Rukun Negara, 1970.

Tanpa memerlukan prosiding di Parlimen. Kita perlu memberi kepercayaan kepada Agong untuk menimbangkan keputusan yang terbaik bagi negara dan rakyat. Baginda boleh merundingi MRR, MKN atau pihak-pihak yang pada hemat baginda perlu. Semoga Allah SWT melindungi kita semua daripada wabak yang melanda dan dipulihkan kehidupan ekonomi rakyat keseluruhannya.

DATO’ DR WAN AHMAD WAN HUSAIN
Pengasas Jurisprudens Watan, merangkap Profesor Madya Fakulti Pengurusan Industri, Universtiti Malaysia Pahang (UMP). – HARAKAHDAILY 23/10/2020