Waris, mangsa terima manfaat Takaful Tabarru’

- Advertisement -

BAGAN SERAI: ADUN Gunung Semanggol, Razman Zakaria berkesempatan menyerahkan cek Takaful Tabarru’ iaitu bantuan khairat kematian atau kemalangan kepada sembilan waris di Pejabat Pusat Khidmat ADUN Gunung Semanggol, di sini hari ini.

- Advertisement -

Jelas Razman, bantuan ini merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Perak melalui Bajet Kesejahteraan Rakyat iaitu program Perlindungan Takaful Tabarru’ bagi semua waris yang kehilangan ahli keluarga mahupun menerima sebarang kemalangan.

“Apabila (ada) ahli (keluarga) meninggal dunia, waris boleh menuntut (bantuan ini) dengan segera di Pusat Khidmat DUN mengikut kawasan masing-masing. Setelah diluluskan, maka sumbangan khairat kematian sebanyak RM 500 itu akan diberikan segera kepada pemohon.

“Rakyat negeri Perak khususnya penduduk DUN Gunung Semanggol hendaklah memanfaatkan Skim Perlindungan Takaful Tabarru’ ini. Inilah inisiatif Kerajaan Negeri Perak bagi membantu (semua) golongan yang memerlukan mengikut kriteria yang telah ditetapkan,” ujarnya.

Antara golongan yang layak menerima bantuan ini ialah warga tua miskin tegar tinggal sendirian, penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Orang Kelainan Upaya (OKU) dan penerima bantuan bulanan Baitulmal.

Juga penerima dalam senarai e-Kasih miskin tegar, ketua isi rumah Orang Asli, pesara tentera, polis dan guru, imam, bilal dan siak di samping paderi dan sami.

Terdahulu seramai 11 penerima terdiri daripada empat waris berbangsa Cina dan tujuh berbangsa Melayu turut menerima cek Skim Tabarru’ ini 15 Oktober lalu.

Penduduk DUN Gunung Semanggol yang memerlukan bantuan ini boleh membuat permohonan di pejabat Pusat Khidmat ADUN Gunung Semanggol atau hubungi talian 05-7214586 jika mempunyai sebarang pertanyaan lanjut. – HARAKAHDAILY 23/10/2020

- Advertisement -