Fahami situasi politik negara Gajah Putih

- Advertisement -

SEKARANG seluruh ibu negara Thailand, Bangkok diletakkan dalam perintah darurat kerana aksi unjuk rasa yang masih berlarutan dan tidak ada tanda-tanda aksi unjuk rasa kelompok Pro-Demokrasi akan bersurai. Semuanya menyatakan ketidakpuasan hati terhadap sistem politik negara itu yang kini masih di bawah tampuk kuasa militerselepas berlakunya aksi kudeta yang dilancarkan pada tahun 2014 di kala tempoh Pilihan Raya Umum sedang dilaksanakan. 

Sejak itu, negara Thailand ditadbir oleh Jen. Prayut Cha-o-Cha sehingga sekarang bahkan beliau sampai sekarang masih bermain tarik tali untuk mengembalikan sistem demokrasi kepada rakyat Thailand. Sementelah pula dengan keadaan raja baharu Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn yang dikatakan memerintah dengan hanya menggunakan proksi dan sikapnya tidak dapat menyamai sikap mendiang ayahnya, Raja Bhumipol yang begitu dekat di hati rakyat Thailand.

Sebenarnya, aksi unjuk rasa yang sedang berlaku sekarang bukanlah sesuatu yang baharu, Thailand sudah mengalami aksi kudeta seperti catatan sejarah berikut berdasarkan kronologi:

- Advertisement -

(1) 1932: Rampasan kuasa tanpa darah pada tahun ini, juga dikenali sebagai Revolusi Siam pada tahun 1932, merupakan titik perubahan dalam sejarah Thailand. Sekumpulan kecil pegawai tentera, yang dikenali sebagai ‘Four Musketeers’, menggulingkan Raja Prajadhipok, mengakhiri Monarki mutlak selama hampir tujuh abad dan mewujudkan Raja Berperlembagaan. Selepas itu, Thailand mendapat perlembagaan pertamanya sekali gus membuka jalan bagi pembaharuan sosial dan politik.

(2) 1933: Tentera mula campur tangan untuk menyingkirkan Perdana Menteri pertama Siam selepas tahun 1932, Phraya Manopakorn Nititada. Phraya Phahon, individu yang memainkan peranan penting semasa rampasan kuasa tahun 1932, kemudian dilantik menjadi Perdana Menteri kedua Siam, jawatan yang beliau berkhidmat selama lima tahun sebelum sempat menghabiskan tempoh pemerintahannya.

(3) 1947: Tentera Thailand sekali lagi melakukan aksi kudeta untuk menyingkirkan pemerintahan Laksamana Thawan Thamrongnawasawat, yang didakwa pentadbirannya dicemari oleh skandal dan rasuah. Pihak tentera yang diketuai oleh Left. Jen Phin Chunhawan dan Kol. Kat Katsongkhram melantik Khuang Aphaiwong, pengasas Parti Demokrat, sebagai Perdana Menteri interim. Rampasan kuasa 1947 sekali gus mengukuhkan lagi peranan tentera dalam politik Thailand.

(4) 1951: Kudeta Senyap atau Silent Coup d’etat berlaku semasa Raja Bhumibol Adulyadej berada di Lausanne, Switzerland. Kumpulan kecil tentera itu kemudian melantik Field Marshal Phibun Songkhram sebagai Perdana Menteri yang baru.

(5) 1957: Ketika keputusan Pilihan Raya Parlimen 1957 yang menyaksikan begitu banyak kes kecurangan dalam proses pengundian telah menjadikan Phibunsongkhram terus berkuasa dan memerintah secara diktator, lantaran itu satu aksi tunjuk perasaan besar-besaran berlaku di Kota Bangkok. Aksi unjuk rasa ini membuatkan Raja Bhumibol tidak senang hati. Hal ini, menyebabkan Marsyal Sarit Thanarat melakukan aksi kudeta, dan Pote Sarasin dilantik sebagai ketua pemerintahan sementara.

(6) 1958: Marsyal Sarit Thanarat, pemimpin Tentera Udara Thailand, memimpin rampasan kuasa pada tahun 1958 dan menggulingkan Perdana Menteri Phibunsongkhram. Hal ini menandakan kedatangan era Autoritarian baru dalam politik Thailand. Sarit Thanarat meninggal dunia pada tahun 1963 dan tempatnya digantikan oleh Marsyal Thanom Kittikachorn.

(7) 1971: Tidak pernah berlaku dalam mana-mana rampasan kuasa tentera yang menggulingkan pemerintahannya sendiri tetapi berlaku di Thailand apabila Marsyal Thanom menggulingkan pemerintahannya sendiri selepas beliau didakwa untuk menyebarkan doktrin Komunis di negara gajah putih itu. Beliau telah bertindak membubarkan Dewan Rakyat.

(8) 1976: Pihak tentera sekali lagi telah merampas kuasa dan menggulingkan Profesor Mom Rajawongse Seni Pramoj (Presiden Parti Demokrat) yang menjadi Perdana Menteri Interim selepas Marsyal Thanom Kittikachorn. Tindakan kudeta ini diketuai Laksamana Sangad Chaloryu yang mengisytiharkan dirinya sebagai Pengerusi Majlis Pembaharuan Pentadbiran Kebangsaan (NARC) dan menguatkuasakan Undang-undang Tentera ke atas Negara Thailand.

(9) 1977: Selepas 8 bulan Thailand diletakkan di bawah Undang-undang Tentera, Laksamana Sangad sekali lagi melancarkan kudeta ke atas pentadbiran Thanin Kraivichien yang dilantik tak sampai setahun untuk mentadbir Kerajaan Thailand sebagai Perdana Menteri.

(10) 1991: Perdana Menteri Chatichai Choonhavan yang dipilih sebagai Perdana Menteri Interim pada tahun 1988 telah ditangkap dalam perjalanan untuk bertemu dengan Raja Bhumibol, ketika itu beliau dilaporkan ingin meminta untuk Raja Bhumibol melantik seorang wakil Menteri Pertahanan yang dianggap sebagai saingan kepada golongan elit tentera. Jeneral Sunthorn Kongsompong yang mengetuai kudeta tersebut telah memegang jawatan sebagai pemimpin Pengawal Pengamanan Negara yang baharu.

(11) 2006: Pihak tentera telah melancarkan kudeta semasa Perdana Menteri Thaksin Shinawatra berada di New York, Amerika Syarikat dalam rangka lawatan ke negara tersebut. Semasa di Amerika Syarikat, Thaksin telah mengisytiharkan perintah darurat tetapi pihak tentera telah menggagalkan perintah tersebut dan membubarkan Perlembagaan Negara. Pihak tentera telah melantik Jeneral Sonthi Boonyaratlin seorang yang beragama Islam sebagai Perdana Menteri Sementara dan menubuhkan Majlis Pembaharuan Demokrasi (DRC) bagi menggantikan pentadbiran Kerajaan Thailand. Kemudian, tampuk pemerintahan DRC telah diteruskan oleh Jen. Surayut Chulanot yang kemudiannya menubuhkan Majlis Keselamatan Kebangsaan (NSC) bagi mengukuhkan lagi pentadbiran tentera di negara itu. 

(12) 2014 : Jen. Prayut Chan-o-Cha merampas kuasa semasa Pilihan Raya Umum sedang berlangsung selepas Yingluck Shinawatra membubarkan Dewan Rakyat selepas aksi unjuk rasa antara kumpulan Baju Merah dan Baju Kuning semakin memuncak. Sejak itu, Thailand diletakkan di bawah Undang-undang Tentera sehinggalah sekarang.

Jika diteliti keseluruhan aksi kudeta ini, institusi Raja kekal utuh tanpa diusik oleh pihak tentera. Hal ini menjelaskan lagi hubungan rapat pihak tentera dan institusi Raja Thailand. 

Melihat kepada kondisi yang kian membarah selepas kemangkatan Raja Bhumibol Adulyadej yang kemudiannya digantikan oleh Raja Maha Vajiralongkorn yang dilihat sebagai raja yang suka berfoya-foya dan culas dalam menjalankan perintah sebagai Raja baharu Thailand, rakyat Thailand kini bangkit untuk mempertahankan institusi Raja agar kembali kepada landasan yang betul dan mengembalikan semula hak memilih Kerajaan secara demokratik kepada rakyat negara gajah putih itu yang setelah sekian lama berada di bawah tampuk pemerintahan tentera yang tiada kesudahan melaksanakan kudeta tanpa memikirkan kehendak rakyat.

Untuk rekod, Perdana Menteri Prayut Chan-o-Cha berhasrat untuk menarik kembali perintah darurat di ibu negara Bangkok selepas menerima tekanan Antarabangsa. 

Kesimpulannya, rakyat Thailand masih lagi mahu mengekalkan institusi Raja yang menjadi tiang seri negara itu selama lebih 8 abad di samping mengekalkan sistem demokrasi yang sebenarnya.

NOR AZIZUDDIN ABDUL MANAN 
Penyelidik Ph.D
Di salah sebuah universiti awam tempatan – HARAKAHDAILY 22/10/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -