DS Anwar permainkan YDP Agong?

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah
- Advertisement -

DALAM surat bertarikh 12 Oktober 2020 kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan:

(1) Tujuan beliau menghadap Yang di-Pertuan Agong pada 13 Oktober 2020 adalah untuk “mengemukakan warkah ketua-ketua parti politik serta akuan bersumpah Ahli Dewan Rakyat secara persendirian bagi mengesahkan bahawa patik selaku Ahli Parlimen Port Dickson (P.132) telah mendapat dan mempunyai kepercayaan dan kepercayaan majoriti yang kukuh dan meyakinkan daripada 131 Ahli Dewan Rakyat untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-9”.

(2) Warkah ketua-ketua parti politik serta akuan bersumpah Ahli Dewan Rakyat secara persendirian yang beliau persembahkan Yang di-Pertuan Agong pada 13 Oktober 2020 “membuktikan secara terperincinya bahawa patik telah mendapat dan mempunyai sokongan dan kepercayaan yang tidak berbelah bagi dan setia daripada Ahli-ahli Dewan Rakyat PKR, Umno, PAN, DAP dan seorang Ahli Dewan Rakyat dari parti lain secara peribadi”.

- Advertisement -

(3) Sebagai tambahan kepada 131 Ahli Dewan Rakyat yang memberikan sokongan dan kepercayaan kepada beliau ini, beliau juga “yakin Ahli-ahli Dewan Rakyat GPS, WARISAN dan UPKO akan turut menyusul segera untuk memberi sokongan dan kepercayaan kepada patik bagi menjadikan jumlah keseluruhan sokongan dan kepercayaan seramai 158 Ahli Dewan Rakyat”.

(4) Berdasarkan semua ini, “YAB Tan Sri Datuk Muhyiddin Bin Hj Mohd Yassin, Ahli Parlimen Pagoh (P.143), telah dengan jelasnya kehilangan sokongan dan kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat selaras dengan Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan dan patik telah mendapat dan mempunyai sokongan dan kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-9 selaras dengan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan”.

Tiba-tiba sahaja semalam, 21 Oktober 2020, ketua parti politik Umno, iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengeluarkan satu kenyataan media bagi menjelaskan pendirian Umno bahawa:

(1) Umno mendukung Kerajaan Perikatan Nasional dalam memfokuskan agenda membantu rakyat dan negara mendepani pandemik COVID-19 serta kegawatan ekonomi.

(2) Umno mahukan kerjasama semua parti dalam Kerajaan Perikatan Nasional diperkasakan bagi menjamin kestabilan politik di saat negara menghadapi ancaman COVID-19 dan ketidaktentuan ekonomi negara.

Maka satu soalan besar yang wajib dijawab sekarang ialah: Apakah Datuk Seri Anwar Ibrahim mempermainkan atau membohongi Yang di-Pertuan Agong bila mendakwa beliau mendapat sokongan dan kepercayaan daripada Umno sedangkan ketua parti politik Umno sendiri menyatakan Umno mendukung Kerajaan Perikatan Nasional?

Dan satu soalan lain yang wajib juga dijawab sekarang ialah: Masih ada lagikah sisa-sisa kewibawaan pada diri Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas ini jika terbukti benar yang beliau sudah mempermainkan atau membohongi Yang di-Pertuan Agong dalam perkara ini?

Nota: Pejabat Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah menafikan ketulenan surat beliau bertarikh 12 Oktober 2020 kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang tular dalam media sosial, malah seorang penyokong kuat beliau, Dr Badrulamin Bahron, menyebutnya sebagai ‘surat rasmi’ dan ‘diklasifikasikan sebagai ‘rahsia’’.

DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF – HARAKAHDAILY 22/10/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -