Kerajaan negeri bantu penduduk terbabit PKPDB

ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah tetap menghulur bantuan kepada penduduk yang terbabit dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Bersasaran (PKPDB).

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata, seramai 176 keluarga terlibat PKPDB di Kampung Padang Che Mas, Baling.

Advertisement

Katanya kerajaan negeri menyediakan peruntukan berjumlah RM35,200 bagi membantu penduduk di kampung terbabit.

“Kerajaan akan menyampaikan sumbangan kepada penduduk di Kampung Padang Che Mas minggu hadapan.

“Oleh itu orang ramai, NGO dan mana-mana pihak dipelawa sama-sama memberi sumbangan dan bantuan kepada penduduk terlibat.

“Bagaimanapun semua sumbangan perlu melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah terbabit,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman hari ini.

Beliau juga berkata, kakitangan Penjara Sungai Petani akan turut diberi bantuan oleh kerajaan negeri.

“Saya juga mengucap terima kasih dan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat menyediakan khemah dan peralatan untuk penempatan Low Risk Covid Centre (LRCC) di Penjara Pokok Sena,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 21/10/2020